JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Bongkar Sindiket Penipuan Laman Sesawang Lucah Sasar Warga Hong Kong

30/01/2026 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Polis membongkar sindiket penipuan yang menguruskan laman sesawang lucah dengan penahanan dua lelaki warga China dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Maluri, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud berkata serbuan dilakukan pada kira-kira 3 petang dan suspek berusia 28 serta 31 tahun dipercayai bertindak sebagai pengurus dan pentadbir platform dalam talian itu.

“Sindiket dipercayai menyasarkan warga Hong Kong dengan menawarkan perkhidmatan penstriman langsung kandungan lucah atau bogel untuk tempoh terhad menerusi sebuah laman sesawang sebelum meminta bayaran tambahan bagi meneruskan akses.

“Namun selepas bayaran dibuat, mangsa tidak menerima perkhidmatan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata polis merampas beberapa unit telefon bimbit dalam serbuan itu dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai beroperasi di kondominium itu kira-kira enam bulan dan terlibat mengawal serta mentadbir platform dalam talian manakala urusan transaksi pembayaran dan pengendalian akaun dikendalikan kumpulan lain yang masih bebas.

Suspek kini direman sehingga 2 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518664