AM

LKM e-Panggilan Lebih Fleksibel, Kadar FI Baharu Ikut Tempoh Berkuat Kuasa Esok

29/01/2026 07:51 PM

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) baharu bagi kenderaan perkhidmatan e-panggilan mengikut tempoh sah dan kapasiti enjin (cc), selaras dengan penetapan fleksibiliti pembaharuan LKM yang berkuat kuasa esok.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan (MOT), penetapan kadar pengiraan fi LKM dan tempoh pembaharuan LKM bagi kenderaan perkhidmatan e-panggilan diselaraskan semula ekoran isu berbangkit melibatkan pemilik kenderaan mengalami kesukaran untuk memperbaharui LKM apabila tempoh permit kenderaan tersebut (eVP) hampir tamat dan berbaki tempoh sah laku kurang daripada enam bulan. 

"Ini bermakna, semua kenderaan perkhidmatan e-panggilan yang berdaftar secara sah akan diberikan kebenaran memperbaharui LKM untuk sesuatu tempoh yang lebih singkat daripada tempoh enam atau 12 bulan.

“Namun, pembaharuan LKM ini masih tertakluk kepada tempoh sah laku terendah eVP, laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan tempoh perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.

Tempoh sah LKM bagi kenderaan perkhidmatan e-panggilan akan ditetapkan minimum sebulan, manakala maksimum ialah 12 bulan. 

"Pemilik kenderaan perkhidmatan e-panggilan diberi fleksibiliti untuk memperbaharui LKM untuk tempoh satu hingga lima bulan, yang kadar fi terkumpul tidak akan melebihi kadar fi LKM enam bulan.

“Kadar fi LKM bagi tempoh enam bulan dan 12 bulan pula adalah tidak berubah. Kemudahan ini hanya terpakai selagi kenderaan berkenaan masih berdaftar sah sebagai kenderaan e-panggilan," menurut kenyataan itu.

Menurut carta rasmi MOT, sebelum ini pembaharuan LKM hanya ditawarkan bagi tempoh enam dan 12 bulan, namun di bawah kaedah baharu, pemilik kenderaan kini boleh memperbaharui LKM bagi tempoh lebih singkat, iaitu antara satu hingga lima bulan, dengan kadar fi diperkenalkan berdasarkan kadar tertentu atau sebahagian mengikut tempoh.

Bagi Malaysia Barat di bawah kod kegunaan asal "AB", kenderaan berkapasiti enjin 1,000 cc dan ke bawah sebelum ini dikenakan kadar fi RM20 bagi tempoh 12 bulan dan RM10 bagi enam bulan.

Melalui kaedah baharu, kadar fi diperkenalkan ialah RM5 bagi tiga bulan, RM3.40 bagi dua bulan dan RM2.70 bagi sebulan. 

Untuk kenderaan 1,404 cc hingga 1,600 cc pula, kadar sedia ada ialah RM90 bagi 12 bulan dan RM45 enam bulan, manakala kadar diperkenalkan ialah RM22.50 (tiga bulan), RM15 (dua bulan) dan RM8.50 (sebulan).

Di bawah kod kegunaan asal "AD" bagi Malaysia Barat, kadar fi sedia ada bagi kenderaan 1,000 cc dan ke bawah ialah RM20 (12 bulan) dan RM10 (enam bulan), manakala kadar fi diperkenalkan ditetapkan RM5 (tiga bulan), RM3.40 (dua bulan) dan RM2.70 (sebulan). 

Sementara itu, kenderaan 1,404 cc hingga 1,600 cc, kadar sedia ada RM120 bagi 12 bulan dan RM60 bagi enam bulan, dengan kadar diperkenalkan RM30 (tiga bulan), RM20 (dua bulan) dan RM11 (sebulan).

Bagi Sabah dan Sarawak, perbandingan kadar menunjukkan struktur sama dengan kadar lebih rendah, di bawah kod "AB", kenderaan 1,404 cc hingga 1,600 cc sebelum ini dikenakan RM72 bagi 12 bulan dan RM36 bagi enam bulan, manakala kadar diperkenalkan ialah RM18 (tiga bulan), RM12 (dua bulan) dan RM7 (sebulan). 

Di bawah kod "AD", kadar sedia ada bagi kategori sama ialah RM60 (12 bulan) dan RM30 (enam bulan), dengan kadar baharu RM15, RM10 dan RM6 masing-masing bagi tempoh tiga, dua dan sebulan.

Bagi kawasan bebas cukai Langkawi dan Labuan, kadar fi sedia ada dan diperkenalkan turut ditetapkan lebih rendah berbanding Malaysia Barat.

Di Langkawi, kenderaan 1,404 cc hingga 1,600 cc di bawah kod "AB" dikenakan RM45 bagi 12 bulan dan RM22.50 bagi enam bulan, manakala kadar diperkenalkan ialah RM11.25 (tiga bulan), RM7.50 (dua bulan) dan RM4.80 (sebulan).

Di Labuan, kenderaan 1,404 cc hingga 1,600 cc di bawah kod "AB" dikenakan RM36 bagi 12 bulan dan RM18 bagi enam bulan, manakala kadar diperkenalkan ialah RM9 (tiga bulan), RM6 (dua bulan) dan RM4 (sebulan).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518346