JENAYAH & MAHKAMAH

Miliki Mercun Tanpa Permit, Pekerja Ladang Sawit Didenda RM8,000

29/01/2026 02:09 PM

TEMERLOH, 29 Jan (Bernama) -- Pekerja ladang sawit didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan dan memiliki 112 pelbagai jenis mercun dan bunga api, Khamis lepas.

Lim Siong Ling, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar, yang turut memerintahkan lelaki terbabit dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa memiliki 112 pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa tujuan yang sah mengikut undang-undang di sebuah bangunan di Jalan Highway Triang di sini, kira-kira 5 petang, 22 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Sarah Aqilah Lokman memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta faktor keselamatan awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Gilbert Lim Sze Min merayu hukuman ringan dengan alasan Lim merupakan penanggung tunggal keluarga dan bertanggungjawab menjaga isteri, lima anak berusia antara dua hingga lima tahun serta ibu yang bergantung kepadanya.

Pada 26 Jan lepas, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dan merampas 112 pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM400,000 dalam serbuan di sebuah bangunan di Jalan Highway Triang di sini.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518137