JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Melaka Sita 85 Kenderaan Mewah Menerusi Ops Luxury

29/01/2026 10:49 AM

MELAKA, 29 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita sebanyak 85 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan sejak Januari 2025 hingga 27 Jan lepas bagi memastikan pematuhan undang-undang pengangkutan jalan raya.

Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata kesemua kenderaan itu diambil tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk 17 kenderaan yang disita pada Januari tahun ini.

“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans tamat tempoh iaitu 76 kes, diikuti LKM tamat tempoh tetapi masih mempunyai perlindungan insurans (lima kes), pemandu warga asing (PEWA) memandu tanpa lesen memandu kompeten (CDL) (tiga kes), serta satu kes mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 579 kenderaan mewah telah diperiksa dalam Op Luxury,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi bersepadu bersama beberapa agensi di Paya Rumput, di sini, malam tadi.

Siti Zarina berkata, kenderaan jenis Mercedes-Benz mencatatkan jumlah sitaan tertinggi iaitu 20 buah, diikuti Toyota Vellfire (16), BMW (12), Toyota Alphard (10) serta lain-lain kenderaan mewah.

Katanya, Ops Luxury turut mengesan kenderaan yang tamat tempoh LKM melebihi lima tahun, termasuk Toyota Vellfire tamat LKM pada 25 Jun 2021 dan Toyota Alphard pada 11 Nov 2021.

Dalam operasi bersepadu malam tadi, sebanyak 395 kenderaan diperiksa, dengan 120 kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan dan 244 notis dikeluarkan.

“Notis JPJ P22 mencatat jumlah tertinggi iaitu 210 notis, dengan 186 notis dikeluarkan kepada penunggang motosikal manakala baki 24 notis dikeluarkan kepada kenderaan lain. Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) sebanyak 14 notis dan Notis Arah Periksa Seksyen 61(1) sebanyak 17 notis turut dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak empat motosikal dan sebuah kereta turut disita selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan, termasuk LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Selain itu, hasil pemeriksaan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati dua individu positif methamphetamine daripada 14 individu yang diperiksa, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan bunyi tidak mengikut standard ditetapkan melibatkan enam kenderaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518055