MELAKA, 29 Jan (Bernama) -- Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan pelaburan palsu didalangi empat lelaki warga China hasil serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Kota Laksamana di sini pada Selasa lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata serbuan pada 8.30 malam itu mendapati pangsapuri berkenaan dijadikan pusat panggilan sejak Oktober tahun lepas dan dikendalikan empat suspek berusia antara 28 hingga 32 tahun.
Beliau berkata sindiket terbabit menjalankan kegiatan menawarkan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan warganegara China menggunakan aplikasi mudah alih sebagai medium penipuan.
“Dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah komputer riba dan enam telefon bimbit dengan anggaran nilai RM10,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA