JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Perlis Rekod Nilai Rampasan Lebih RM53 Juta Hasil Penguatkuasaan 2025

28/01/2026 04:15 PM

KANGAR, 28 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merekodkan nilai rampasan keseluruhan RM53.82 juta sepanjang 2025 hasil tindakan penguatkuasaan membanteras penyeludupan barangan tidak berkastam dan dadah di negeri itu.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 147 kes melibatkan rampasan barangan termasuk rokok, minuman keras, kenderaan, mercun dan beras bernilai RM29.74 juta manakala 20 kes lagi membabitkan narkotik termasuk ganja, methamphetamine dan ketum berjumlah RM24.08 juta.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam memperkukuh kawalan sempadan serta memutuskan rantaian sindiket penyeludupan yang merugikan hasil negara dan mengancam keselamatan awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perlis berjaya merampas dadah jenis kanabis seberat 13 kilogram serta pelbagai barangan tidak berkastam melibatkan kenderaan, rokok dan dapur gas keseluruhan bernilai RM376,000 manakala duti dan cukai sebanyak RM205,782.50.

Beliau berkata kesemua rampasan itu dibuat di sekitar Kangar termasuk kawasan perairan Kuala Perlis, Mata Ayer dekat Padang Besar, Arau serta di Pengkalan Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang antara 4 Jan hingga 14 Jan lepas. 

“Rampasan ini termasuk melibatkan sitaan tiga kenderaan berpendaftaran Thailand yang didapati menggunakan permit pengedaran antarabangsa (ICP) telah tamat tempoh,” katanya.

Ismail berkata kesemua rampasan termasuk tiga kenderaan itu masing-masing disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517764