SUKAN

TFC Rekrut Penyerang Import Baharu Hadapi Baki Liga Malaysia

27/01/2026 06:20 PM

KUALA NERUS, 27 Jan (Bernama) -- Pasukan Terengganu FC (TFC) mengumumkan kemasukan penyerang import terbaharu Gervane Kastaneer bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Menurut kenyataan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) pemain berasal dari Belanda itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan TFC bagi mengisi kuota bebas.

Kastaneer, 29, adalah penyerang kebangsaan Curacao dan pernah beraksi bersama kelab Indonesia, selain mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas antarabangsa.

"Kastaneer antara pemain yang membantu pasukannya layak ke kejohanan Piala Dunia sekali gus membuktikan tahap kualiti, pengalaman serta daya saing beliau di peringkat antarabangsa.

"Pengalaman tersebut diyakini mampu memberi nilai tambah dan memperkukuh jentera serangan TFC dalam menghadapi cabaran Piala Malaysia dan Liga Super yang bakal berakhir Mei depan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517453