CEBU CITY (Filipina), 27 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) dan mesyuarat berkaitan mulai Rabu ini (28 Januari) di Cebu City, Filipina.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata Permukiman AMM merupakan mesyuarat rasmi pertama ASEAN bagi tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Filipina.
“Semasa sesi permukiman itu, Pengerusi ASEAN dijangka membentangkan bidang keutamaan dan keberhasilan Kepengerusiannya melalui tema, “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”.
“Sesi Permukiman ini memberi ruang kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN lain untuk memperkukuh usaha bersama ke arah pembinaan Komuniti ASEAN yang terangkum, mampan dan berdaya tahan, khususnya dalam mendepani perubahan dan ketidaktentuan landskap geopolitik dan geoekonomi semasa,” menurut Wisma Putra.
Kementerian Luar berkata selain itu, menteri-menteri luar ASEAN akan menyemak semula pelaksanaan keputusan daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober 2025, serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro akan mempengerusikan permukiman itu yang turut dihadiri oleh semua Menteri Luar ASEAN dan wakil masing-masing, serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Tahun ini juga menandakan penyertaan pertama Menteri Luar Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas sebagai ahli penuh ASEAN, susulan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Kementerian Luar berkata Mohamad turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, dengan fokus perbincangan yang akan tertumpu kepada usaha memperdalam kerjasama ASEAN dan meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara berkenaan.
-- BERNAMA