AM

"Papa Zola The Movie" Raih Lebih Empat Juta Penonton Asia Tenggara

27/01/2026 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) - Filem animasi tempatan terbitan Monsta dengan kerjasama Astro Shaw, Papa Zola The Movie mencatat lebih empat juta penonton di Asia Tenggara sejak mula ditayangkan pada 11 Dis lepas, sekali gus muncul antara filem animasi paling berjaya pernah dihasilkan Malaysia.

Monsta dalam satu kenyataan memaklumkan filem yang ditayangkan serentak di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia itu, terus menerima sambutan kukuh di pawagam tempatan apabila masih mengekalkan kedudukan nombor satu hujung minggu lepas walaupun telah memasuki minggu ketujuh tayangan.

Di Indonesia, prestasi awal turut menunjukkan momentum positif apabila filem berkenaan mencatat kira-kira 200,000 penonton dalam tempoh empat hari pertama tayangan, sekali gus muncul sebagai filem baharu nombor satu pada minggu pembukaan dan kedua tertinggi keseluruhan minggu di pasaran tersebut.

Sehingga 27 Jan, filem arahan Nizam Razak itu turut tersenarai dalam senarai tontonan lebih 10,000 pengguna di platform tiket digital Indonesia, TIX ID, selain menerima penilaian tinggi 9.7 daripada pengguna platform berkenaan.

“Pencapaian itu meletakkan Papa Zola The Movie sebagai filem animasi Malaysia dengan jumlah penonton tertinggi, serta filem tempatan ketiga paling berjaya sepanjang masa selepas Mat Kilau dan Blood Brothers,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bagi menggalakkan tontonan keluarga dan kanak-kanak, pihak pempamer di Malaysia turut memperkenalkan beberapa inisiatif berkaitan harga tiket di pawagam terpilih.

Inisiatif ini bertepatan dengan cuti panjang di beberapa negeri minggu ini termasuk Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Putrajaya, yang dijangka terus memacu kehadiran penonton ke pawagam,” menurut kenyataan itu.

Selain prestasi pawagam, fenomena filem animasi itu turut memberi impak di platform digital apabila lagu tema Batas Senja mencatat peningkatan penggunaan di TikTok daripada sekitar 800,000 video sebelum tayangan kepada lebih 2.4 juta video selepas tayangan.

Susulan kejayaan tayangan serentak di Asia Tenggara, Papa Zola The Movie dijadualkan meneruskan pengembangan antarabangsa dengan tayangan akan datang di Vietnam dan beberapa pasaran antarabangsa lain sepanjang tahun ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517361