JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Didenda RM35,000 Tipu Pengurus Operasi Syarikat, Tawar Pembelian Mesin Bitcoin

27/01/2026 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Seorang wanita didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menipu pengurus operasi syarikat komputer dengan menawarkan pembelian mesin bitcoin, sembilan tahun lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Pei Pei, 40, dan memerintahkan wanita berkenaan dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa menipu Tan Hon Ken, 51, dengan menawarkan pembelian mesin bitcoin hingga mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM599,100, iaitu perkara yang tidak akan dilakukan jika bukan kerana diperdaya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit pusat perdagangan Jalan Sentul di sini pada 16 Dis 2017 hingga 5 Jan 2018.

Wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Lim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan dia mempunyai empat anak berumur 18 tahun hingga 13 tahun.

"Saya memohon supaya tidak dikenakan hukuman penjara kerana saya mahu mencari duit untuk anak-anak yang masih belajar," katanya.

-- BERNAMA



 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517316