KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Walaupun menampilkan peningkatan ketara sepanjang tahun lepas, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah masih belum mampu menandingi pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak mengakui Pearly-Thinaah perlu bekerja keras dalam merapatkan jurang dengan jaguh China itu yang terus konsisten dan cemerlang dengan merangkul Kejohanan Dunia 2025 di Paris serta dua gelaran Super 1000 iaitu Terbuka Indonesia dan Terbuka China tahun lepas.
“Kita sedang cuba rapatkan jurang. Setiap kali ada kejohanan sama ada menang atau kalah, kita akan lihat balik program yang ada (sama ada berkesan atau tidak) namun proses itu berterusan," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rosman percaya pencapaian anak buahnya yang juga beregu nombor dua dunia meraih gelaran sulung musim ini pada Masters Indonesia 2026 di Jakarta, walaupun tidak beraksi pada final di Istora Senayan, mampu menjadi pembakar semangat untuk mereka memburu lebih banyak kejayaan tahun ini.
Ahad lepas, naib juara dunia 2025 itu diberikan kemenangan percuma selepas gandingan baharu Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri sebelum perlawanan bermula.
Sebelum ini, Takahashi dilaporkan tidak dapat beraksi susulan demam.
Kejayaan itu menyaksikan Pearly-Thinaah muncul beregu wanita Malaysia pertama menjuarai kejohanan tersebut dalam tempoh 15 tahun sejak kali terakhir dimenangi Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011.
Pencapaian tersebut merupakan gelaran pertama mereka selepas beraksi dalam tiga kejohanan setakat musim ini.
Rosman berharap pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 itu dapat mengekalkan konsistensi mereka musim lepas yang turut menyaksikan pasangan itu membawa pulang gelaran Terbuka Thailand, Terbuka Artik dan Masters Jepun.
“Kita perlu mengambilnya sebagai satu cabaran untuk sekurang-kurangnya kekalkan apa yang kita boleh buat tahun lepas kerana akhirnya kita perlu ingat tentang perancangan jangka panjang mahu menang pingat Sukan Olimpik.
“Ia bukan hanya tentang tahun ini, pemain ini kita mahu mereka bermain lama lagi. Kita juga perlu jaga emosi dan tekanan mereka,” katanya.
Pearly-Thinaah terlepas peluang membawa pulang pingat pada penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila kecundang kepada pasangan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida 11-21,11-21 dalam aksi penentuan gangsa.
-- BERNAMA