AM

Pasangan Pengantin Orang Asli Teruja Diraikan Di Majlis Perkahwinan

25/01/2026 05:35 PM

CHUKAI, 25 Jan (Bernama) -- Tiga pasangan pengantin Orang Asli termasuk yang baru memeluk agama Islam teruja diraikan pada satu majlis di Kampung Sungai Pergam di sini hari ini.

Khairul Anuar, 33, bersama pasangan Nurul Izzatie Andol, 25;  Abby Shahril Soki, 27, dan Nurul Nadhira Abdullah, 18; serta Mohammad Khairul Nizam Rosman, 23, dan Rosnah Misa, 20, selamat diijabkabulkan pagi tadi dalam Majlis Perkahwinan Masyarakat Orang Asli di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pergam di sini.

Majlis tersebut dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketiga-tiga pasangan berkenaan termasuk Rosnah dan Nurul Izzatie yang baru memeluk Islam pada Novermber lepas dinikahkan oleh jurunikah daripada Pejabat Agama Kemaman, Mohamad Faizu Zakaria di Surau An Nur di kampung tersebut.

Selepas akad nikah, pasangan pengantin diarak sejauh 50 meter ke dewan majlis persandingan yang turut dimeriahkan dengan kehadiran 100 tetamu termasuk ahli keluarga.

Seorang daripada pengantin, Mohd Khairul Nizam berkata dia gembira apabila majlis perkahwinan itu dianjurkan dengan meriah meskipun agak gementar untuk memikul tanggungjawab besar memandangkan isterinya, Rosnah yang berasal dari Rompin, Pahang baru memeluk Islam.

"Insya-Allah saya akan membimbing isteri menjadi Muslimah yang baik, ajar dia solat dan berpuasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut hari ini. 

Khairul pula berkata dia mengenali isterinya Nurul Izzatie dari Pos Belatim Gua Musang, Kelantan menerusi aplikasi Facebook sejak tahun lepas. 

"Alhamdulillah perkenalan kami di media sosial berakhir di jenjang pelamin dan semoga perkahwinan kami bahagia serta berkekalan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkim Terengganu Prof Dr Ramle Abdullah berkata program tersebut dianjurkan untuk membantu masyarakat orang asli beragama Islam berdaftar secara sah, selain memastikan perkahwinan mereka mengikut undang-undang. 

Beliau berkata ia juga bertujuan membantu pasangan remaja yang kurang berkemampuan berkahwin  tanpa menanggung kos kenduri dan urusan perkahwinan yang tinggi.

“Dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kami juga akan membimbing dua pengantin yang baru memeluk Islam berkaitan ilmu rumah tangga selari dengan ajaran Islam,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516587