KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Sebanyak 44.50 peratus atau 6,014 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengikut pecahan daerah mengundi, Lamag mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 66.08 peratus, diikuti Balat (59.05 peratus), Buang Sayang (47.14 peratus), Bukit Garam (45.09 peratus), Usaha Jaya (43.68 peratus) dan Kota Kinabatangan (40.89 peratus).
Kesemua sembilan pusat mengundi yang mengandungi 30 tempat mengundi atau saluran itu dibuka pada 7.30 pagi tadi, membolehkan 13,515 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang dan akan ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA