KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Penetapan sasaran sebanyak 95,000 orang menyertai Angkatan Sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan keperluan untuk memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara secara menyeluruh.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata pecahan sasaran keseluruhan keanggotaan itu, melibatkan 80,000 anggota Askar Wataniah, 10,000 anggota Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 5,000 anggota Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata sasaran itu perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan Tonggak Pertahanan Komprehensif seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP), yang menekankan pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan segenap masyarakat bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara melalui penglibatan menyeluruh jentera kerajaan dan masyarakat.
“Setakat 31 Dis lepas, keanggotaan Angkatan Sukarela ATM sebanyak 36,610 orang merangkumi 28,213 anggota Askar Wataniah, 5,419 anggota Pasukan Simpanan TLDM dan 2,978 anggota Pasukan Simpanan TUDM, seterusnya mencerminkan sumbangan signifikannya dalam menyokong keperluan operasi serta kesiapsiagaan ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela SeMalaysia ke-19 di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Lokman Hakim berkata pencapaian sasaran itu memerlukan pendekatan yang berfokus dan bersepadu meliputi aspek pengambilan, latihan, kebajikan serta sokongan sumber dengan penyelarasan berkesan antara kerajaan Persekutuan, dan negeri serta pihak berkepentingan.
Beliau berkata walaupun Angkatan Sukarela telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan, beberapa cabaran utama seperti pengambilan anggota, pengekalan keanggotaan dan kesiapsiagaan mobilisasi perlu ditangani secara berstruktur.
“Dalam hal ini, terdapat potensi yang signifikan untuk memperkukuh Angkatan Sukarela sebagai komponen sokongan strategik yang berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan pertahanan semasa,” katanya.
Lokman Hakim berkata kerajaan komited menyediakan sokongan menyeluruh kepada Angkatan Sukarela melalui faedah dan kemudahan merangkumi aspek kebajikan, latihan, perlindungan serta pengiktirafan yang juga dapat menggalakkan lagi penyertaan.
SPJP Angkatan Sukarela ke-19 itu menghimpunkan 23 ahli yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendukung negeri atau wakil masing-masing, dan diadakan semula selepas penganjuran terakhir pada 2015 bertujuan memperbaharui dan memperkukuh mekanisme penyelarasan nasional Angkatan Sukarela ATM.
Selain itu, sidang tersebut turut berperanan menyelaras inisiatif bersama, meneroka insentif bersesuaian serta mengoptimumkan perkongsian sumber antara kerajaan Persekutuan, dan negeri.
Antara yang hadir ialah Ketua Staf Markas ATM Lt Jen Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dan Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
-- BERNAMA