KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Biarpun terpaksa menempuh perjalanan sungai yang berisiko selain berdepan kekangan pengangkutan bot, ia tidak menghalang beberapa penduduk Kampung Bilit Seberang untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, hari ini.
Pekerja pusat pelancongan Siti Zamziah Zaini, 42, berkata beliau bersama ibu, lima adik-beradiknya serta jiran tetangga telah mengatur pergerakan mereka seawal 8 pagi di jeti kampung untuk menyeberang secara berkumpulan ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bilit.
Siti Zamziah berkata perjalanan menyeberangi Sungai Kinabatangan yang mengambil masa kira-kira 10 minit itu memerlukan kewaspadaan yang tinggi, terutamanya berdepan risiko bertembung dengan buaya, yang digelar penduduk setempat sebagai 'adu-adu'.
"Orang Sungai sini percaya, kita tidak boleh sebut namanya. Dalam bahasa Orang Sungai kami panggil ‘adu-adu’, maksudnya macam nenek, kalau ikut bahasa kami. Ada pantang larang, macam minta izin lalu agar ia tidak ganggu kami.
“Perjalanan kami ini memang tidak lari daripada risiko … pernah juga bertembung dengan buaya tetapi kami tawakal," katanya kepada Bernama selepas mengundi di SK Bilit.
Selain faktor keselamatan, Siti Zamziah berkata cabaran utama penduduk kampung berkenaan adalah ketiadaan bot persendirian yang mencukupi, memaksa mereka bergantung harap kepada bot pelancong atau menumpang bot penduduk lain.
Beliau berkata amalan berkongsi wang bagi membeli minyak bot sebagai tambang perjalanan sudah menjadi kelaziman dalam kalangan jiran tetangga bagi memastikan mereka dapat bergerak secara berkumpulan ke seberang sungai.
Walaupun berdepan kekangan logistik, ibu kepada tiga cahaya mata itu menegaskan ia bukan halangan untuknya dan keluarga melaksanakan kewajipan sebagai pengundi walaupun baru sahaja mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 29 Nov tahun lepas.
Setakat 10 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, sebanyak 23.31 peratus atau 11,256 pengundi telah keluar mengundi bagi PRK Kinabatangan, manakala 20.18 peratus atau 2,727 pengundi bagi PRK DUN Lamag.
Proses pengundian setakat ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi melebihi 65 peratus.
Proses penjumlahan undi akan diadakan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, iaitu di Dewan Sri Lamag di sini dan keputusan rasmi dijangka diumumkan seawal 10 malam.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA