PASARAN

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Rendah Minggu Depan

24/01/2026 10:26 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung selepas ketegangan geopolitik mereda.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketegangan geopolitik mereda selepas Sidang Kemuncak Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

"Mungkin harga emas semerta akan menemui paras sokongan sekitar US$4,900 setiap auns troy minggu depan," katanya kepada Bernama.

Berdasarkan minggu ke minggu, kontrak Januari 2026 meningkat kepada US$4,914.80 setiap auns troy daripada US$4,609.20 minggu sebelumnya.

Februari 2026 naik kepada US$4,928.00 daripada US$4,625.60 manakala Mac 2026 melonjak kepada US$4,945.90 daripada US$4,642.60.

Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 juga ditutup lebih tinggi pada US$4,963.70 setiap auns troy daripada US$4,661.70 sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 1,331 lot daripada 1,056 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 567 kontrak daripada 192 kontrak.

Emas fizikal ditetapkan pada US$4,825.55 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 22 Jan, 2026.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516173