POLITIK

PRK Kinabatangan: Dua Calon Selesai Mengundi Setakat 9 Pagi

24/01/2026 03:05 PM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing, setakat 9 pagi ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bilit pada 8.51 pagi dan selesai mengundi pada 8.58 pagi.

Sementara itu, calon Bebas Goldam Hamid pula melaksanakan tanggungjawab mengundi di SK Minusoh pada 8.54 pagi.

Pusat pengundian bagi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak pada 7.30 pagi dan akan ditutup pada 5.30 petang ini dengan sebahagian daripadanya ditutup secara berperingkat. 

Proses pengundian pada pagi ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik.

Penjumlahan rasmi undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam, manakala bagi DUN Lamag menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Sementara itu, calon Warisan bagi Parlimen Kinabatangan Saddi mengundi di SK Batu Puteh pada 10.45 pagi tadi.

Bagi PRK DUN Lamag pula, calon Warisan Mazliwati mengundi di SK Buang Sayang pada 8.20 pagi, manakala calon BN Mohd Ismail yang mengundi di SK Bukit Garam II pada 1.36 tengah hari, menjadi calon terakhir menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya kecil berkenaan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516168