JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Sasar Kutip RM10 Bilion Hasil Penyelewengan, Ketirisan Wang Negara Tahun Ini - Azam Baki

22/01/2026 06:08 PM

KOTA BHARU, 22 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan kutipan hasil aktiviti penyelewengan dan ketirisan wang negara berjumlah RM10 bilion sepanjang tahun ini, menerusi Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bagi mencapai sasaran itu, semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan perlu mencari semula wang berkenaan yang hilang akibat ketirisan, terutama menerusi langkah mengekang aktiviti penyeludupan.

“Banyak kegiatan penyeludupan berlaku dan pihak agensi perlu mencari pelbagai pendekatan untuk menangani isu berkenaan kerana ia melibatkan hasil apabila cukai tidak dibayar.

“Sebagai contoh, mungkin kita dapat merampas sejumlah rokok seludup, namun kita perlu menyiasat secara terperinci mungkin ia telah diseludup sejak 10 tahun lepas. Kita perlu melihat ke belakang bagi mendapatkan semula wang yang hilang itu dan perkara ini saya tekankan kepada semua pengarah SPRM negeri juga,” katanya dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini hari ini.

Azam berkata SPRM berjaya mengumpulkan sebanyak RM15.5 bilion menerusi aktiviti penyelewengan dan ketirisan oleh MATF, sepanjang dua tahun 2023 hingga 2024.

Berikutan itu, Azam berkata pengarah SPRM pada peringkat negeri disaran memberi fokus kepada isu semasa mengikut negeri masing-masing dalam usaha mengekang ketirisan wang negara.

“Setiap negeri mempunyai burning issue masing-masing. Sebagai contoh Kelantan banyak babitkan isu penguatkuasaan sempadan, isu kebocoran penyeludupan dan ada juga isu penerokaan hutan.

“Ini mesti ditangani oleh SPRM kerana negara akan kehilangan perolehan cukai akibat penyelewangan dan rasuah dan kita mahu pungut semula ketirisan wang negara itu,” katanya.

Azam berkata penguatkuasaan juga perlu difokuskan kepada aspek pentadbiran di negeri masing-masing bagi menentukan aspek intergriti diamalkan.

"Langkah ini perlu dilakukan walaupun ia mungkin tidak disukai kerana menjadi tanggungjawab SPRM memastikan aktiviti rasuah dan penyelewengan ditangani dengan baik," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515629