AM

Dasar Industri Kreatif Negara Disemak Semula - Fahmi

22/01/2026 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) akan disemak semula bagi memastikan manfaat pembangunan industri itu dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh penggiat industri kreatif dan masyarakat negara ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu juga bertujuan untuk memperkukuh dasar dan pelaksanaan industri kreatif yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi.

Pada masa sama, beliau berkata agensi berkaitan industri kreatif diarahkan supaya memperuntukkan sejumlah peratusan khusus dana kreatif kepada pemohon yang belum pernah menerima peruntukan sebelum ini, bagi mengelakkan agihan dana terus tertumpu kepada kelompok penerima yang sama.

"Saya telah menegur agensi dan jabatan terlibat supaya meletakkan sejumlah peratusan dana khusus kepada pemohon yang belum pernah menerima peruntukan sebelum ini, dengan syarat mereka memenuhi kelayakan serta kriteria kualiti ditetapkan.

"Ini menjadi kayu pengukur penting dalam pengagihan yang lebih adil,” katanya menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung dakwaan agihan dana kreatif yang tidak adil pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi berkata pengagihan dana menerusi proses penilaian berperingkat, pendekatan semak dan imbang, penyaluran dana berasaskan pencapaian serta pengenalan tempoh bertenang kepada penerima terdahulu bagi mengelakkan pertindihan dana.

Mengulas kedudukan industri kreatif dalam landskap ekonomi negara, beliau berkata berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan pertumbuhan 7.1 peratus pada 2024.

Nilai eksport produk budaya dan kreatif pula meningkat daripada RM56 bilion pada 2023 kepada RM63 bilion pada 2024, sekali gus mengukuhkan peranan sektor itu sebagai antara pemacu ekonomi baharu negara selaras sasaran sumbangan industri itu pada kadar tujuh hingga 10 peratus kepada KDNK.

"Selain itu, industri ini membantu mewujudkan lebih 763,000 peluang pekerjaan merangkumi sektor audio visual, muzik, seni persembahan, buku dan media cetak, seni visual dan kraf, warisan budaya serta pendidikan budaya,” katanya.

Fahmi berkata kerajaan turut melihat kejayaan filem animasi Papazola The Movie sebagai bukti bahawa karya kreatif dan harta intelek (IP) tempatan berteraskan budaya dan kreativiti yang bukan sahaja berdaya saing di dalam negara, malah mampu dikomersialkan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata filem animasi terbitan Monsta Studio itu mencatat kutipan RM61.35 juta setakat 20 Jan lepas, sekali gus menjadi filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah, mengatasi Ejen Ali The Movie 2 dan filem itu dijangka ditayangkan di pawagam Indonesia bermula minggu depan.

Kejayaan itu, katanya wajar dijadikan dorongan kepada pengkarya tempatan untuk membangunkan karya berteraskan budaya dan kreativiti yang bukan sahaja berdaya saing di dalam negara, malah mampu dikomersialkan di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515475