JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Terima Tiga Laporan Taska Disyaki Langgar SOP, Dera Kanak-kanak

22/01/2026 11:20 AM

SHAH ALAM, 22 Jan (Bernama) -- Polis menerima tiga laporan berhubung cawangan taska di sini yang dipercayai terbabit dalam kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk isu penderaan seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata pihaknya turut merakam percakapan pempengaruh yang mendedahkan kejadian itu selain sedang melakukan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) di premis cawangan terlibat. 

“Laporan dibuat ibu bapa termasuk kepada seorang kanak-kanak autisme. Setakat ini, ada lagi cawangan yang disiasat belum menyerahkan rakaman CCTV dan rampasan akan dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Sebelum ini, satu video dipercayai dikongsi petugas sebuah taska di Shah Alam yang memaparkan seorang kanak-kanak autisme dikurung dalam stor dengan keadaan menangis teresak-esak tular di media sosial.

Turut tular ialah video memaparkan kanak-kanak di cawangan taska sama di Puchong, Selangor diminta merangkak di dalam longkang, didakwa bagi mengelak pemeriksaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515359