GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menyeragamkan bayaran cukai tanah bagi semua tanah kegunaan sekolah di negeri itu kepada kadar nominal RM50 bagi setiap hak milik, berkuat kuasa tahun ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu dibuat bukan bertujuan menambah beban kewangan kepada sekolah sebaliknya bagi menyeragamkan kadar bayaran supaya semua sekolah membayar jumlah yang sama.
"Sebelum semakan cukai 2026, kadar cukai tanah bagi kegunaan sekolah dikenakan pada kadar bangunan (kediaman), namun selepas semakan kita ambil keputusan iaitu tanah kegunaan sekolah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan akan dikenakan kadar cukai nominal RM50, melibatkan 106 hak milik.
"Bagi tanah-tanah sekolah yang bukan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pula, kadar cukai nominal RM50 dikenakan bagi setiap hak milik iaitu melibatkan 201 hak milik, namun kadar cukai itu terkecuali bagi sekolah antarabangsa kerana ia melibatkan perniagaan dan cukai dikenakan mengikut kadar tersebut (iaitu perniagaan)," katanya pada sidang media di pejabatnya di KOMTAR di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat selepas Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Negeri (MMK) meneliti semakan cukai tanah tahun ini dan mempertimbangkan rayuan dikemukakan pihak sekolah.
"Dahulu ada sekolah kena bayar beberapa ribu (cukai tanah), sekarang bayar RM50 sahaja, ia bukan bagi bebanan namun seragamkan semua sekolah. Tahun ini bayar RM50 setiap hak milikan," katanya.
Sementara itu, Chow berkata isu kenaikan kadar cukai tanah lebih tinggi bagi sebahagian pemilik tanah khususnya melibatkan tanah kategori First Grade susulan semakan menyeluruh dilakukan selepas 30 tahun adalah berdasarkan kadar kegunaan semasa mengikut Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 11 Sept 2025.
"Kerajaan negeri tidak pernah membuat semakan kadar cukai tanah sejak 1994, akibatnya terdapat banyak tanah First Grade yang masih dikenakan kadar lama berdasarkan kategori pertanian, sedangkan kegunaan sebenar tanah telah lama berubah kepada kediaman, perniagaan atau perindustrian.
''Sebagai contoh, sebidang tanah First Grade di Seberang Perai Selatan seluas 10,800 meter persegi yang sebelum ini hanya dikenakan cukai RM33 setahun atas kategori pertanian, kini dikenakan kadar RM3.25 per meter persegi selepas didapati digunakan bagi tujuan perindustrian, menjadikan jumlah cukai RM35,101 setahun," katanya.
Menurut Chow, walaupun kenaikan itu dilihat tinggi, hakikatnya ia adalah kadar yang sepatutnya dibayar semua pemilik tanah perindustrian di Pulau Pinang dan langkah tersebut lebih adil serta saksama kerana tiada lagi pemilik membayar terlalu rendah hanya kerana tanah mereka berstatus First Grade.
Beliau berkata bagi meringankan beban pemilik tanah, kerajaan negeri turut meluluskan pemberian rebat 50 peratus kepada semua pemilik tanah pada 2026, tertakluk kepada kadar minimum dan syarat ditetapkan.
-- BERNAMA