DUNIA

Malaysia Kecam Keras Pencerobohan Israel Ke Atas Ibu Pejabat UNRWA

21/01/2026 05:09 PM

PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menceroboh ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan  Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta merobohkan premis agensi itu di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur pada 20 Jan.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu menegaskan bahawa Israel mempunyai kewajipan undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa untuk memudah cara usaha bantuan kemanusiaan oleh entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya UNRWA, tanpa sebarang halangan.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa semua petugas kemanusiaan dan perubatan mesti dilindungi, manakala keistimewaan dan kekebalan PBB, premis, harta benda dan pegawainya perlu dihormati, selaras dengan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 22 Okt 2025 yang menegaskan semula perlindungan berkenaan.

Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk menuntut akauntabiliti daripada Israel atas pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa yang serius, termasuk Piagam PBB, Konvensyen Mengenai Keistimewaan dan Imuniti PBB 1946 serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

"Kekebalan daripada tindakan undang-undang ini mesti dihentikan," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, UNRWA melaporkan bahawa jentolak Israel telah memasuki pekarangan agensi itu dan merobohkan bangunannya dengan disaksikan oleh ahli parlimen serta anggota pihak berkuasa Israel.

Agensi itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai "serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap agensi PBB dan premisnya".

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515102