KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Segala urusan perkahwinan dan perceraian umat Islam perlu dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti yang sah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.
Sehubungan itu, Marhamah berkata pasangan Islam yang mempunyai masalah rumah tangga boleh merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi perkhidmatan kaunseling dan rundingan.
Beliau berkata jabatan itu mempunyai pegawai terlatih yang menerima latihan khusus daripada jabatan agama dan mahkamah syariah bagi menangani isu pertikaian rumah tangga serta perceraian.
“JAKIM dan JAIN telah menyediakan platform khidmat kaunseling, runding cara keluarga berlandaskan pendekatan syariah bagi membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi serta mencari penyelesaian yang adil dan seimbang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta penjelasan berkaitan isu perkhidmatan Coach Cerai yang tular melibatkan perceraian artis baru-baru ini serta tindakan kerajaan, khususnya JAKIM dalam menanganinya.
Mengulas lanjut, Marhamah berkata jabatan berkenaan memandang serius terhadap kewujudan perkhidmatan Coach Cerai, yang dilihat bercanggah dengan hukum syariah serta berpotensi merosakkan rumah tangga.
“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan hukum Coach Cerai yang menyatakan penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti Coach Cerai ini perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar sehingga membawa kepada kegusaran awam,” katanya.
-- BERNAMA