SHAH ALAM, 20 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini mencapai tahap kesiapsiagaan hampir 90 peratus untuk menjadi venue acara bola sepak dan lawan pedang sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata pencapaian itu hasil penambahbaikan prasarana sukan di kampus berkenaan, termasuk projek menaik taraf trek sintetik Stadium UiTM yang siap dalam tempoh kurang setahun dengan kos hampir RM3 juta.
“Pemilihan UiTM sebagai venue SUKMA adalah berdasarkan kemudahan sedia ada yang telah disemak pihak sekretariat dan pada pandangan mereka, kita hampir bersedia sepenuhnya.
“Bagi acara lawan pedang dan bola sepak, kemudahan yang tersedia ketika ini memenuhi keperluan asas penganjuran,” katanya pada sidang media di Stadium UiTM malam tadi.
Shahrin berkata kemudahan sukan itu juga memberi peluang kepada masyarakat awam untuk menggunakannya, selain memperkukuh peranan UiTM sebagai pusat pembangunan sukan universiti.
“Kemudahan ini menggunakan dana awam, maka menjadi tanggungjawab kita menyediakan akses kepada masyarakat tanpa mengabaikan keperluan mahasiswa dan pekerja.
“Pada masa sama, kita memanfaatkan peluang penjanaan hasil secara terkawal bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan berterusan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihak universiti sedang meneroka sumber kewangan tambahan, termasuk daripada kementerian, bagi menaik taraf kemudahan lain seperti padang hoki dan prasarana sokongan kampus.
Langkah itu penting bagi memastikan UiTM benar-benar bersedia sebagai tuan rumah bersama SUKMA secara menyeluruh dan mampan.
Shahrin berkata pembangunan kemudahan sukan UiTM bukan hanya tertumpu kepada penganjuran acara besar, sebaliknya turut menekankan pembinaan jati diri pelajar serta pembudayaan gaya hidup sihat.
Beliau berkata usaha itu menyokong laluan pembangunan atlet daripada peringkat kampus hingga ke peringkat kebangsaan secara berperingkat dan sistematik.
Pada majlis pelancaran itu, Shahrin turut menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara UiTM menentang pasukan pilihan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).
-- BERNAMA