AM

Pelakon Nadia Kesuma Meninggal Dunia Di Jeddah

18/01/2026 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lepas, telah meninggal dunia akibat sakit jantung.

Perkara itu disahkan suami pelakon itu Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, melalui hantaran di Facebook pagi tadi.

Muhammad Kamarul, 57, memaklumkan isterinya meninggal dunia pada 8.07 pagi Khamis lepas, hari pelakon itu dilaporkan gagal dikesan.

“Assalamualaikum, dengan penuh kesedihan dan dukacita, saya ingin mengumumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kesumawati yang telah meninggal dunia dengan tenang di Tanah Para Anbiya (Jeddah) pada 15 Jan 2026, pada 8.07 pagi.

“Semoga Allah mengurniakan keampunan kepada beliau,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan anak perempuan pelakon berkenaan memaklumkan berita mengenai pemergian ibunya disampaikan oleh agensi pelancongan pada 11 malam tadi.

“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudiannya telah dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di lapangan terbang Jeddah dan tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah malam ini pada jam 11.10 malam, berita tersebut disampaikan oleh agensi pelancongan itu sendiri,” katanya.

Nadia Kesuma menyertai pakej Umrah-London-Paris sebuah agensi pelancongan bersama-sama 21 jemaah lain.

Pelakon itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.48 pagi, Selasa lepas.

Sebelum ini, Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah yang juga rakan baik Nadia Kesuma memaklumkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Jeddah.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini mengesahkan bahawa Nadiah Kesumawati yang dilaporkan hilang pada Khamis lepas, telah meninggal dunia.

Menurut kenyataan itu Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedang memberikan bantuan konsular kepada pihak keluarga bagi memastikan semua urusan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Wakil daripada kedua-dua perwakilan diplomatik Malaysia itu turut berada di lapangan, bagi memantau perkembangan secara dekat serta memudah cara proses seterusnya.

“Kementerian menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Pada masa yang sama, Kementerian ini turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam mengendalikan urusan ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan kementerian itu tidak akan mengulas lanjut butiran peribadi individu yang terlibat bagi menghormati sensitiviti semua pihak, namun menegaskan bahawa keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513733