LABUAN, 17 Jan (Bernama) -- Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang diadakan bermula dari hari ini hingga 28 Feb, dapat memperkukuh semangat patriotik, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penduduk wilayah itu termasuk di Labuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui berkata kempen itu memberikan peluang kepada masyarakat untuk memeriahkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan mengibarkan bendera di seluruh pulau ini, termasuk di pusat bandar, kampung, taman awam, kuarters kerajaan dan terminal feri.
"Pengibaran bendera Wilayah Persekutuan di lokasi strategik adalah untuk memupuk rasa patriotisme dan kebanggaan dalam kalangan penduduk Labuan sebagai sebahagian daripada keluarga Wilayah Persekutuan," katanya ketika melancarkan kempen itu di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini hari ini.
Lo berkata sebanyak 12,500 bendera Wilayah Persekutuan pelbagai saiz dipasang dan diedarkan oleh Perbadanan Labuan, termasuk kepada 27 kampung di pulau ini yang bukan sahaja mencerminkan komitmen menyeluruh semua pihak, tetapi juga memastikan semangat untuk meraikan hari bersejarah itu sampai ke peringkat akar umbi.
Beliau berkata menerusi kempen yang diadakan bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Feb ini, turut diadakan inisiatif Pencahayaan Wilayah Persekutuan dari 26 Jan hingga 28 Feb, melibatkan pencahayaan di bangunan komersial, terutamanya di pusat bandar.
Lo berkata inisiatif itu akan meningkatkan keceriaan di lokasi utama serta menarik pelancong dan pengunjung tempatan, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan sambil menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Dalam hal ini, saya menggalakkan pemilik bangunan, pengusaha perniagaan dan komuniti penduduk di Labuan untuk mengambil bahagian dalam kempen kibar bendera dan pencahayaan ini kerana program itu bukan sahaja membantu mewujudkan landskap bandar yang menarik, malah turut mengukuhkan imej Labuan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa," katanya.
Pelbagai program katanya, akan diadakan bersempena dengan sambutan itu termasuk Fun Walk, aktiviti Wilayahku Treasure Hunt, jualan Rahmah dan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan, serta program Party Cake@Wilayahku.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib berkata kempen kibar bendera itu diadakan setiap tahun sebagai permulaan kepada sambutan yang menandakan pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
"Objektif kempen ini termasuk memupuk rasa cinta akan Wilayah Persekutuan, nilai kedaulatan dan tanggungjawab dalam kalangan rakyat serta menggalakkan perpaduan dan kerjasama merentasi generasi," katanya.
Beliau berkata penyertaan daripada pelbagai agensi dan kumpulan komuniti yang amat menggalakkan mencerminkan bahawa kempen ini ialah satu program utama yang menggariskan komitmen Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensinya dalam mempromosikan kepentingan bendera Wilayah Persekutuan.
"Perbadanan Labuan berharap program ini dapat menjadi pemangkin dalam menguatkan rasa cinta akan Wilayah Persekutuan dan memupuk rasa kebersamaan sejajar dengan tema sambutan tahun ini, 'Wilayah Persekutuan Kita'," katanya.
-- BERNAMA