PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) menjangkakan 2026 menjadi tempoh yang lebih baik untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), disokong persekitaran ekonomi yang lebih stabil serta peluasan semula sokongan pembiayaan kepada pelbagai segmen perniagaan.
Pegawai Utama Datuk Fazlur Rahman Zainuddin berkata jangkaan itu turut didorong oleh sokongan berterusan kerajaan melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, yang membantu PMKS melonjakkan pertumbuhan perniagaan melalui pelaburan semula dalam teknologi baharu, automasi, pendigitalan serta peluasan kapasiti.
“Kita mengharapkan PMKS mengambil peluang ini untuk meningkatkan perniagaan dari segi pelaburan semula dalam teknologi, teknologi baharu, automasi, pendigitalan atau mengembangkan syarikat, mungkin membuka satu lagi kilang atau cawangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis pelancara Inisiatif Belanjawan 2026 - Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan di sini, pada Khamis.
Fazlur Rahman berkata pada tahun lepas, sebanyak 14,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM14 bilion, namun prestasi pembiayaan itu sedikit rendah berbanding tahun sebelumnya.
Pada 2024, jumlah nilai kelulusan pembiayaan mencecah RM18.5 bilion, termasuk pembiayaan kepada syarikat pertengahan sebelum turun pada 2025 susulan perubahan fokus SJPP serta ketidaktentuan ekonomi global, katanya.
“Penurunan ini disebabkan dua faktor utama. Pertama, pada 2025 kita tidak memberi tumpuan kepada segmen syarikat pertengahan. Pada 2024, kelulusan pembiayaan bagi segmen itu sekitar RM3 hingga RM4 bilion.
“Kedua, keadaan ekonomi 2025 yang tidak menentu, termasuk isu tarif, menyebabkan banyak PMKS mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian isu tarif serta persekitaran ekonomi global yang lebih stabil dijangka membuka ruang kepada prospek yang lebih positif pada 2026.
“Bagi 2026, kita menjangkakan keadaan menjadi lebih baik berbanding 2025 dan dengan kemasukan semula syarikat pertengahan, khususnya yang berorientasi eksport, kita mahu mereka menjadi pemangkin kepada rantaian pembekal, vendor dan kontraktor dalam kalangan PMKS,” katanya.
Dalam pada itu, Fazlur Rahman berkata peruntukan jaminan kerajaan telah ditingkatkan kepada RM30 bilion bagi SJPP dan RM20 bilion bagi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP), selaras aspirasi kerajaan untuk memperluas akses pembiayaan kepada PMKS serta pembeli rumah pertama.
“Saya menggalakkan PMKS dan pembeli rumah pertama untuk pergi ke cawangan bank berhampiran bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai jaminan kerajaan, sekali gus meningkatkan peluang kelulusan pembiayaan,” katanya.
Pengarah Urusan Bubble O2 Ain Azizah Arifin berkata syarikat air mineral oksigenasi semula jadi itu berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 2019 dan kini mengendalikan operasi menyeluruh merangkumi penggalian sumber air hingga pembotolan, logistik dan pendigitalan.
“SJPP banyak membantu ketika kami bermula...sebagai syarikat kecil harga mesin boleh mencecah setengah juta ringgit. Jaminan SJPP sangat meringankan aliran tunai kami,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sudah memperluas kemudahan pengeluaran sebanyak dua kali dan kini merancang pembukaan kilang ketiga di Pahang, selepas pertemuan dengan Menteri Besar minggu lepas.
Bubble O2 kini mengeksport ke Brunei dan Emiriah Arab Bersatu, selain meluaskan pasaran di ASEAN dan Timur Tengah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Tonasco Holding, Sheau-Wei Lin berkata syarikat itu merupakan pengeluar berorientasi eksport dalam sektor teknologi tinggi dan pertama kali berurusan dengan SJPP pada 2018-2019 ketika pihaknya memohon geran daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk membangunkan kilang pintar.
“Menerusi geran dan sokongan SJPP, kami melancarkan kilang pintar sendiri. Ini memerlukan pelaburan besar dalam perisian dan jentera automasi. Walaupun ada sokongan kerajaan, kami masih perlu membiayai sebahagiannya dan pada ketika itulah pihak bank memperkenalkan SJPP kepada kami,” katanya.
Beliau berkata pembiayaan yang dijamin itu membolehkan syarikat mempercepat automasi dan menaik taraf sistem pengeluaran yang amat penting memandangkan permintaan daripada pelanggan semikonduktor terus meningkat.
“Kami kini sedang memasuki fasa pengembangan seterusnya apabila pelanggan utama kami, khususnya di Eropah, meningkatkan operasi mereka. Memandangkan banyak rantaian bekalan berpindah atau berkembang di Malaysia, fasa seterusnya ini akan memerlukan pelaburan baharu,” katanya.
Beliau berkata pasaran eksport Tonasco merangkumi Belanda, Jerman, Switzerland, Perancis dan Amerika Syarika dengan syarikat kekal menumpukan kepada Eropah susulan pangkalan pelanggan jangka masa panjangnya di rantau tersebut.
Pengarah Urusan, M. Pitchaimani pula berkata Sri Korakkar Agro Products, yang ditubuhkan pada 2010, mengimport pelbagai jenis kekacang dan bahan makanan asas, termasuk kacang hijau hitam, kacang hijau, kacang pea, dal serta pelbagai jenis tepung yang digunakan setiap hari oleh restoran dan pengeluar makanan.
“Rangkaian pengedaran kami semakin berkembang dan kami memerlukan modal kerja tambahan. Apabila kami mendekati pihak bank, mereka memperkenalkan skim SJPP. SJPP membantu menjamin pembelian bahan mentah kami dari luar negara, yang amat membantu dalam mengembangkan kehadiran kami di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata sokongan tersebut membolehkan syarikat meningkatkan skala operasi dan memenuhi permintaan daripada rangkaian peruncitan utama serta perniagaan makanan.
-- BERNAMA