KUALA KUBU BHARU, 14 Jan (Bernama) -- Kerajaan menyasar meningkatkan nilai eksport nanas negara kepada RM2 bilion menjelang 2027 sejajar dengan usaha memperkukuh pembangunan industri itu yang kini dilihat sebagai komoditi strategik bernilai tinggi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata menerusi usaha tersebut pengusaha industri nanas berpotensi menjana pendapatan sekitar RM9,000 sebulan bagi setiap hektar melalui pengurusan ladang moden.
Beliau berkata tahun lepas, nilai eksport nanas negara mencecah RM1.4 bilion dengan jumlah eksport sebanyak 76,000 metrik tan ke pasaran antarabangsa termasuk Timur Tengah, China dan Eropah, dan angka itu dijangka terus meningkat dengan penerokaan ke pasaran baharu seperti New Zealand.
“Lawatan ke projek tanaman nanas MD2 di Sungai Gumut hari ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh pembangunan industri nanas.
“Kita berhasrat nilai eksport ini akan terus meningkat dan mencecah RM2 bilion menjelang 2027,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan Nanas Sungai Gumut, dekat sini,hari ini.
Pada acara itu turut adakan gimik upacara pecah tanah pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) yang dijangka memperkukuh rantaian nilai industri nanas, daripada peringkat ladang hingga ke pasaran.
Projek yang dimajukan oleh syarikat Premium Pineapple Sdn Bhd itu melibatkan kawasan seluas 270 ekar (109.26 hektar), dengan penanaman semasa seluas 16 hektar merangkumi 740,432 pokok nanas MD2 dan kadar kelangsungan hidup tanaman melebihi 97 peratus.
“Kita bukan sahaja mahu melihat orang ramai (datang) membeli nanas untuk dimakan di kawasan ini, tetapi juga sebagai tumpuan pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan eksport, termasuk pembangunan kilang pemprosesan berteknologi tinggi serta potensi agropelancongan,” katanya.
Bagi menyokong pembangunan projek itu, Chan berkata Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah menyalurkan bantuan termasuk bekalan benih dan input pertanian bernilai RM221,800, geran pembinaan stor ladang berjumlah RM30,000 serta bimbingan teknikal, selain perancangan melibatkan program komuniti dan belia seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Agropreneur Muda.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri Selangor turut menyalurkan bantuan berjumlah RM113,300 kepada usahawan nanas dengan di Hulu Selangor sahaja, bantuan input pertanian bernilai lebih RM1.2 juta telah memberi manfaat kepada 38 pengusaha.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama LPNM dan sektor swasta bagi membangunkan industri nanas secara mampan serta memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata pada 2026, LPNM merangka projek pembangunan di Selangor melibatkan tambahan 49 hektar dengan nilai insentif RM1.3 juta yang memanfaatkan kira-kira 26 pengusaha, manakala pada tahun lepas, sebanyak RM180,000 disalurkan kepada petani muda di negeri itu menerusi Geran Agropreneur Muda yang kini dijenamakan semula sebagai Agropreneur NextGen.
Sementara itu Chan berkata Selangor berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab agromakanan moden berikutan kelebihan logistik yang dimilikinya termasuk lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan, rangkaian kereta api serta sokongan berterusan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri.
-- BERNAMA