AM

Roshdi Ahmad Dilantik Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia

14/01/2026 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia (CSM) hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Operasinya Roshdi Ahmad sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa hari ini, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelancaran operasi agensi itu.

Pengumuman berkenaan dibuat menerusi hantaran di Facebook CyberSecurity Malaysia pagi ini.

Pelantikan itu susulan persaraan Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CSM berkuat kuasa semalam, selepas 13 tahun menerajui agensi keselamatan siber negara tersebut.

Menurut maklumat di laman rangkaian profesional LinkedIn, Roshdi mempunyai lebih tiga dekad pengalaman profesional, telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi CSM sejak November 2021 dan bersama agensi itu sejak 2007.

Beliau pernah memegang jawatan penting di beberapa organisasi termasuk Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), Daihatsu (Malaysia) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), selain mempunyai kepakaran dalam pengurusan projek, strategi korporat, pemasaran serta operasi.

Roshdi yang memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Maklumat serta Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Pengajian Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), pernah mengikuti Program Kepimpinan di Harvard Business School dan memiliki Diploma Agribisnes dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, CSM dalam satu kenyataan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas persaraan Amirudin, sambil menzahirkan penghormatan terhadap kepimpinan, visi dan sumbangan beliau dalam memacu transformasi CSM sebagai agensi teknikal negara serta memperkukuh keupayaan Malaysia berdepan ancaman digital yang semakin kompleks.

Antara pencapaian utama di bawah kepimpinan beliau termasuk memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara melalui peluasan perkhidmatan teknikal seperti MyCERT dan Cyber999, memantapkan keupayaan forensik digital menerusi penubuhan makmal bertaraf antarabangsa, serta menyokong pembangunan dasar dan ekosistem keselamatan siber negara termasuk sumbangan kepada Akta Keselamatan Siber 2024.

Beliau turut memperluas kolaborasi global, selain memajukan pembangunan bakat keselamatan siber melalui latihan profesional, program kesedaran dan inisiatif pembinaan kapasiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Amirudin juga memodenkan infrastruktur teknikal organisasi dengan usaha ini mengukuhkan kedudukan CyberSecurity Malaysia sebagai pusat rujukan utama keselamatan siber di Malaysia dan rantau ini, selain mengilhamkan inisiatif SiberKASA iaitu program bagi memperkasakan dan melestarikan infrastruktur keselamatan siber negara melalui penawaran perkhidmatan strategik CyberSecurity Malaysia.

“Selain itu, beliau menubuhkan CyberSAFE® L.I.V.E. Galeri, iaitu galeri keselamatan siber pertama di Malaysia menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2021, serta memperkukuh penglibatan industri melalui CyberSecurity Malaysia Collaboration Program (CSMCP) yang mewujudkan kerjasama erat dengan pemain industri, penyedia teknologi dan institusi penyelidikan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512257