AM

RM12 Juta Diperuntuk Bagi PEKB 2026 Perkasa Usaha Bendung Kemiskinan Bandar - KPKT

13/01/2026 10:53 PM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,100 peserta di seluruh negara, selaras dengan usaha berterusan kerajaan membasmi kemiskinan bandar, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan program itu merangkumi latihan dan bimbingan berstruktur oleh badan bukan kerajaan (NGO) pelaksana yang dilantik, dengan peserta akan dilatih dalam bidang berpotensi tinggi yang dikenal pasti daripada 15 bidang keusahawanan di bawah Program PEKB, selari dengan keperluan pasaran dan peluang ekonomi semasa.

“KPKT terus diberi mandat untuk melaksanakan PEKB sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam membasmi kemiskinan bandar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih.

“Program berkenaan bertujuan membina keupayaan peserta melalui latihan keusahawanan dan kemahiran bersasar bagi membantu mereka menjana pendapatan yang lebih mampan, seterusnya meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan kebergantungan berterusan kepada bantuan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Semasa Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB Tahun 2026 kepada NGO Peringkat KPKT, Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata Program PEKB membina keupayaan dan memberi peluang kepada peserta agar mampu berusaha keluar daripada kemiskinan, seterusnya berdikari tanpa berterusan bergantung kepada bantuan kerajaan. 

Sebelum ini, di bawah pelaksanaan RMK12, Program PEKB memberi manfaat secara langsung kepada 5,424 peserta daripada golongan B40 dengan peruntukan keseluruhan RM55 juta yang disalurkan secara berfasa dan berfokus.

KPKT juga memaklumkan pelaksanaan PEKB 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa golongan sasar secara menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi, sekali gus menjadikan program itu sebagai antara pemangkin utama usaha menoktahkan kemiskinan bandar secara lestari.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512127