DUNIA

China, Sri Lanka Ikrar Perdalam Perkongsian Kerjasama Strategik

13/01/2026 02:35 PM

COLOMBO, 13 Jan (Bernama-CMG) -- Menteri Luar China Wang Yi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Sri Lanka, Vijitha Herath pada Isnin ketika singgah di negara itu dalam perjalanan pulang dari Afrika.

Dalam pertemuan itu, Wang menyatakan kesediaan China untuk meningkatkan pertukaran pengalaman tadbir urus dengan Sri Lanka selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memperdalam perkongsian kerjasama strategik serta bersinergi membina komuniti berkongsi nasib sesama negara.

Menurut beliau, di tengah-tengah ketidaktentuan global, China akan teguh mempertahankan hak dan kepentingan negara-negara membangun khususnya negara bersaiz kecil dan sederhana.

Beliau berkata China komited bekerjasama dengan negara yang sehaluan untuk menentang amalan “undang-undang rimba”, politik kuasa dan buli selain bersama-sama mempertahankan multilateralisme serta keadilan antarabangsa.

Sementara itu, Herath berkata Sri Lanka bersedia memperkukuh pertukaran peringkat tinggi dengan China serta memperkasa kerjasama dalam bidang infrastruktur, maritim, pelancongan dan sosiobudaya, sekali gus melonjakkan perkongsian kerjasama strategik kedua-dua negara ke tahap baharu.

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511873