JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Pegawai Bank Rugi Lebih RM90,000 Ditipu Sindiket Tawaran Kerja Di Laman Sosial

13/01/2026 08:55 AM

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) -- Seorang pesara pegawai bank lelaki kerugian sebanyak RM91,550, selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 5 Jan lepas, mangsa yang berusia 57 tahun, telah melihat iklan tawaran kerja sebagai ejen jualan di laman Facebook.

Beliau berkata mangsa yang berminat telah menekan pautan yang tertera, sebelum menerima satu pesanan WhatsApp daripada suspek.

“Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp “AurionVilla” dan diajar tentang cara terperinci menyelesaikan tugasan, iaitu membuat tempahan hotel melalui satu platform dalam talian.

“Selepas mendaftar sebagai ahli atau pekerja, mangsa dikehendaki membuat 90 kali tempahan hotel sehari menggunakan wang sendiri dan dijanjikan komisen untuk setiap tugasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata pada mulanya mangsa berasa sangat gembira kerana berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM4,000, setelah menyelesaikan beberapa tugasan.

“Akibat terlalu yakin dan percaya, mangsa telah membuat tempahan lebih besar bagi mendapatkan keuntungan lebih lumayan.

“Mangsa bagaimanapun telah membuat laporan polis pada 1.39 petang semalam, setelah gagal mendapatkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, seorang kerani klinik wanita hilang semua wang simpanannya berjumlah RM70,935, selepas ditipu sindiket sama.

Azli berkata mangsa yang berusia 54 tahun, telah menerima hadiah “Tupperware” daripada individu tidak dikenali pada 1 Jan lepas.

Beliau berkata suspek kemudiannya menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan menawarkan kerja sambilan iaitu “like” dan “share” hantaran di laman sosial dengan komisen lumayan.

“Selepas menyelesaikan sebanyak 20 tugasan, mangsa telah diberi komisen. Suspek kemudiannya menawarkan komisen lebih tinggi kepada mangsa, dengan syarat perlu membuat bayaran terlebih dahulu bagi mendapatkan tugasan.

“Mangsa yang percaya telah membuat 17 kali pembayaran secara deposit tunai dan transaksi dalam talian, tetapi gagal mendapat komisen yang dijanjikan,” katanya.

Azli berkata mangsa membuat laporan polis selepas suspek mendesak supaya terus membuat pembayaran dengan pelbagai alasan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511737