IPOH, 12 Jan (Bernama) -- Jabatan Perikanan Negeri Perak telah melabuhkan enam tukun tiruan di perairan Pulau Jarak dekat Lumut membabitkan kos berjumlah RM300,000.
Program Melabuh Tukun Tiruan Rekreasi Pulau Jarak 2026 yang diadakan di perairan pulau berkenaan hari ini, disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali A. Manap berkata tukun tiruan ialah struktur buatan manusia yang diletakkan di dasar laut atau perairan bertujuan menarik hidupan marin, memulihkan ekosistem marin, menyokong aktiviti perikanan dan pelancongan seperti memancing rekreasi serta selam skuba.
"Sejak 2014 hingga 2025, sebanyak 91 tukun tiruan telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak dan agensi swasta di perairan Pulau Pangkor, Rungkup dan Kepulauan Sembilan.
"Kita telah memperuntukkan RM1.1 juta untuk pembangunan tukun tiruan di negeri ini sejak 2014 hingga kini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ghazali berkata tukun yang dilabuhkan merupakan tukun tiruan dasar lembut penghalang pukat tunda, dengan tujuan tambahan menghalang pencerobohan aktiviti pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata kesemua tukun tersebut berfungsi sebagai habitat tiruan yang baharu bagi sektor perikanan, dengan lokasi tukun menjadi kawasan ikan berkumpul dan secara tidak langsung merupakan kawasan nurseri pembiakan ikan.
"Hasilnya sektor perikanan laut di Perak telah berjaya menyumbang sebanyak 434,349.91 tan metrik tangkapan ikan dengan nilai melebihi RM32.7 juta pada 2024.
"Kesemua usaha konservasi dan pengurusan perikanan yang baik ini dapat menjamin permintaan dan keterjaminan sumber perikanan negeri dan secara tidak langsung memberi limpahan sumber perikanan tambahan bagi memenuhi permintaan di luar Perak," katanya.
-- BERNAMA