AM

Sistem Dua Pam Kemubu KADA Tangani Isu Pengairan Musim Kemarau

12/01/2026 05:17 PM

KOTA BHARU, 12 Jan (Bernama) -- Projek Pembinaan Stesen Pam Kemubu 3 dan 4 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun ini dan akan menyelesaikan masalah pengairan sawah seliaan agensi itu pada musim kemarau.

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata projek itu tergendala seketika berikutan musim tengkujuh pada tahun lepas, kini sudah dimulakan semula dan berada pada fasa akhir pembinaan.

“Dengan siapnya dua pam ini kita jangkakan masalah kekurangan bekalan air pada musim kemarau akan dapat ditangani bermula tahun ini.

“Ini kerana pam itu mampu membekalkan air walaupun dengan paras air serendah satu meter dan tanaman musim 2/2025 seluas 10,000 hektar yang sedang memulakan proses pembajakan ketika ini bakal menerima kemudahan tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata projek itu dibina menerusi peruntukan khas bernilai RM20 juta daripada Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikannya selepas siap sepenuhnya.

Khalid berkata Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera itu tahun lepas bagi mengatasi masalah bekalan air yang meruncing, terutamanya ketika musim kemarau, untuk memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata banjir di Kelantan penghujung tahun lepas menjejaskan 1,200 hektar tanaman padi seliaan KADA membabitkan tuntutan keseluruhan sebanyak RM3.58 juta.

“Sebanyak 465 petani terkesan dengan banjir dengan sebahagian besar membabitkan kawasan tanaman di Bachok,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511558