JENAYAH & MAHKAMAH

JSJN KL Tumpaskan Sindiket Edar Dadah Guna Minuman Berperisa

12/01/2026 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan minuman berperisa sebagai medium edaran, hasil tiga serbuan di sekitar ibu negara Rabu lepas, dengan rampasan keseluruhan bernilai RM978,857.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, berkata serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.

Beliau berkata serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres dan kereta di kawasan rumah itu, dipercayai digunakan untuk memproses dan menyimpan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dua lagi serbuan dilakukan, di sebuah rumah dan kenderaan di lokasi berasingan, menghasilkan lebih banyak rampasan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Fadil, antara dadah yang dirampas ialah cecair MDMA seberat 867,252 gram bernilai RM701,850; serbuk MDMA seberat 5,480.50 gram bernilai RM37,800; 190 kartrij vape cecair ketamin berjumlah 380 mililiter bernilai RM57,000 serta 306 batang rokok cannabis seberat 304.97 gram bernilai RM30,600,

Turut dirampas ialah peket plastik lut sinar ketamin seberat 21 gram bernilai RM4,200; dadah jenis ecstasy seberat 5.28 gram bernilai RM500 serta pil Erimin 5, seberat 21.08 gram bernilai RM400.

Selain dadah, polis juga menyita harta dianggarkan bernilai RM146,507 termasuk sebuah Mercedes-Benz, Honda City Hatchback, rantai berwarna kekuningan, dua jam tangan serta wang tunai dan mata wang asing, menjadikan jumlah sitaan RM978,857.

Hasil siasatan mendapati suspek membawa dadah tersebut dari satu lokasi ke lokasi lain menggunakan kenderaan, manakala rumah dijadikan tempat simpanan dan pemprosesan sebelum dijual kepada orang awam tanpa sasaran khusus seperti kelab malam.

Dadah diproses dan dibungkus dalam minuman berperisa seperti anggur, teh hijau dan teh herba Cina, bagi mengaburi pihak berkuasa. Harga jualan bergantung kepada kandungan dan kualiti, ada yang mencecah ratusan ringgit.

Suspek direman tujuh hari bermula 8 hingga 14 Jan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah.

Fadil menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pengedar dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511460