AM

28 Sekolah Di Sarawak, Tujuh Di Sabah Tidak Dapat Mulakan Sesi Persekolahan Hari Ini

12/01/2026 02:33 PM

KUCHING, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 28 sekolah di Sarawak tidak dapat memulakan operasi pada hari pertama sesi persekolahan akibat banjir, kata Pengarah Pendidikan negeri Omar Mahli.

Beliau berkata jumlah itu menyaksikan peningkatan berbanding 26 sekolah yang dilaporkan sebelum ini selepas pemantauan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat malam tadi.

“Pada awalnya, sebanyak 42 sekolah dilaporkan terjejas namun hasil perbincangan dan penilaian semula, jumlah itu dikurangkan kepada 26.

“Bagaimanapun, malam tadi PPD Dalat melakukan pemantauan... dua lagi sekolah yang memang dimasuki air tidak dapat beroperasi, menjadikan 28 sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi pagi ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya hari ini.

Omar berkata setakat ini, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak belum menerima sebarang laporan kerosakan serius melibatkan aset sekolah kerana langkah awal telah diambil dengan mengarahkan pihak sekolah memindahkan peralatan ke tempat lebih selamat.

Sehubungan itu, beliau berkata kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disaran sebagai alternatif terbaik bagi sekolah terbabit memandangkan minggu pertama persekolahan memberi tumpuan kepada sesi suai kenal serta pembelajaran santai.

Omar juga berkata setakat ini, sekolah yang terjejas akibat bencana banjir merangkumi dua dari PPD Dalat, Daro (tiga), Selangau (empat) dan Tatau/Sebauh (19). 

Di SABAH, tujuh sekolah rendah tidak dapat dibuka pada hari pertama sesi persekolahan akibat terjejas bencana banjir dan runtuhan tanah, kata Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Raisin Saidin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, enam di Beaufort masih terkesan akibat banjir manakala sebuah lagi di Tenom berdepan isu keselamatan berikutan runtuhan tanah di kawasan sekolah.

“Sekolah terbabit diberi pilihan sama ada mengadakan kelas PdPR sepanjang penutupannya atau membuat kelas ganti pada hari Sabtu apabila sekolah dibuka semula nanti.

“Sekolah berkenaan hanya dibuka selepas keadaan pulih sepenuhnya dan selamat untuk murid serta guru kembali ke sekolah,” menurutnya dalam kenyataan selepas meninjau hari pertama persekolahan di SMK Trus Madi di Keningau.

Raisin berkata enam sekolah yang terjejas di Beaufort ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bangkalalak, SK Garama, SK Jabang, SK Kebulu, SK Lago dan SK Suasa membabitkan 364 murid manakala di Tenom ialah SK Simpang dengan 60 murid.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511447