JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) -- Gangguan sistem eGate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini masih belum pulih, namun operasi kawalan sempadan kekal berjalan seperti biasa dengan implikasi terhad kepada pemegang pasport asing.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI menerusi hantaran di Facebook memaklumkan keadaan di semua zon adalah terkawal dan warganegara Malaysia boleh terus menggunakan kemudahan eGate seperti biasa.
“Dimaklumkan bahawa gangguan sistem eGate masih berulang dan status operasi adalah kekal, iaitu melibatkan pemegang pasport asing sahaja. Pemegang pasport asing boleh menggunakan eGate di lokasi seperti Dewan Bas Masuk melibatkan eGate 19, 20, 21 dan 22 serta Dewan Bas Keluar (eGate 5, 6, 7 dan 8).
“Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama AKPS masih giat menjalankan tindakan pembaikan serta pemantauan berterusan bagi menangani isu ini,” menurut hantaran itu.
Sebagai langkah mengurangkan kesesakan, AKPS memaklumkan pelawat asing dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi menggunakan kaunter QR serta kaunter manual yang telah disediakan.
Agensi itu turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi semua panduan dan arahan berkaitan serta memberi laluan kepada golongan yang memerlukan demi keselesaan dan keselamatan.
Semalam, media melaporkan puluhan ribu warga asing terkandas dan beratur panjang di dua pintu masuk darat Malaysia dengan Singapura susulan gangguan teknikal yang menyebabkan kebanyakan pintu automatik imigresen tidak berfungsi.
-- BERNAMA