KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan rapat antara Malaysia dan Turkiye, yang diperkukuh oleh kepercayaan sekian lama antara pemimpin mereka, membantu memacu kerjasama yang lebih kuat dalam bidang perdagangan, pelaburan dan penglibatan global.
Beliau menarik perhatian bahawa hubungan ini, yang dibina atas kepercayaan dan rasa hormat bersama selama bertahun-tahun, telah membolehkan penglibatan dan pemahaman yang lebih erat di peringkat kepimpinan, membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dengan lebih berkesan dalam inisiatif ekonomi dan diplomatik utama.
“Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menjadi rakan peribadi yang rapat sepanjang tahun-tahun penuh cabaran dan rintangan, dalam waktu senang mahupun susah beliau tetap menjadi rakan sejati,” katanya dalam satu temu bual bersama penyiar awam Turkiye, program One on One TRT World, semasa lawatan beliau ke Turkiye baru-baru ini.
Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye bermula Selasa atas jemputan Presiden Erdogan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Anwar berkata walaupun hubungan peribadi antara pemimpin dapat membantu memudahkan penglibatan diplomatik, penekanan tetap diberikan bagi memastikan hubungan sedemikian diterjemahkan kepada kerjasama bermakna yang memberi manfaat kepada masyarakat luas.
Beliau berkata perdagangan dan pelaburan terus membentuk tulang belakang hubungan Malaysia-Turkiye, sambil menekankan bahawa kerjasama ekonomi merupakan bidang utama yang kedua-dua negara boleh memperluas penglibatan.
Anwar berkata kedua-dua pihak sedang berusaha ke arah meningkatkan perdagangan dua hala, walaupun beliau mengakui bahawa tahap perdagangan semasa masih sederhana berbanding saiz ekonomi kedua-dua negara.
“Sasaran kami sudah tentu untuk mencapai US$10 bilion tetapi ia masih dianggap kecil bagi ekonomi besar seperti Turkiye dan juga bagi Malaysia sebagai kuasa yang sedang meningkat,” katanya.
Anwar berkata Turkiye memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia dan ASEAN menembusi pasaran baharu di luar rantau ini, terutamanya di tengah-tengah dinamik ekonomi global yang sedang berubah.
“Bagi saya Turkiye adalah penting dalam aturan sedemikian,” katanya sambil menambah bahawa kerjasama antara Malaysia dan Turkiye juga boleh diperluas ke wilayah yang sedang pesat membangun melalui platform pelbagai hala yang lebih luas.
Menyentuh mengenai kekuatan Turkiye, Anwar berkata negara itu mempunyai kelebihan dalam beberapa bidang utama termasuk teknologi pertahanan, penyelidikan, dan pendidikan, yang boleh melengkapkan keutamaan pembangunan Malaysia.
Mengenai dasar luar negara, Anwar berkata Malaysia terus mengamalkan pendekatan seimbang, dengan menjalin hubungan dengan kuasa besar global sambil mengelak daripada memihak kepada mana-mana blok tunggal.
“Malaysia mendapat manfaat besar daripada kehadiran, perdagangan dan pelaburan Amerika. Ia masih nombor satu,” katanya sambil menyatakan bahawa Malaysia juga sedang memperkukuh penglibatannya dengan China, yang disifatkannya sebagai pemain serantau yang semakin penting.
Anwar menegaskan bahawa pendekatan Malaysia terhadap hubungan antarabangsa bukan berdasarkan pengiraan sifar-jumlah, tetapi atas penglibatan pragmatik dengan semua rakan kongsi.
“Jadi kita perlu mengemudi perkara ini dengan bijak. Ia bukan satu permainan sifar-jumlah,” katanya.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 berjumlah RM21.2 bilion (US$4.92 bilion), dengan republik itu terus menjadi rakan ekonomi penting bagi Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (US$5.28 bilion).
-- BERNAMA