JENAYAH & MAHKAMAH

MBPP Pandang Serius Vandalisme Jejantas Tanjong Tokong

09/01/2026 07:24 PM

GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memandang serius  perbuatan vandalisme di jejantas pejalan kaki di simpang empat Tanjong Tokong di sini, yang menyebabkan pengoperasian lif terpaksa dihentikan sepenuhnya akibat kerosakan teruk.

Ahli Majlis MBPP Lee Seng Hwai berkata susulan aduan awam, pemeriksaan telah dilakukan dan mendapati kerosakan lif berpunca daripada kehadiran cecair pada sistem pendawaian dan sensor, sekali gus menyebabkan komponen berkenaan terbakar.

“Pengoperasian kesemua lif terpaksa dihentikan sepenuhnya buat masa ini sehingga kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan.

“Selain itu, pemeriksaan turut mendapati cermin di jejantas berkenaan dipecahkan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan bukan sahaja kepada pengguna jejantas malah kepada kenderaan dan motosikal yang melalui jalan di bawahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata jejantas pejalan kaki itu dibuka kepada orang awam pada 2023 dan berfungsi menghubungkan laluan pejalan kaki dari Jalan Fettes ke Jalan Seri Tanjung Pinang.

Menurut beliau, lif di jejantas berkenaan amat penting khususnya kepada warga emas, wanita hamil serta orang kurang upaya (OKU) yang bergantung kepada kemudahan tersebut untuk menyeberangi jalan dengan selamat.

“Justeru, kerosakan itu secara langsung menafikan hak serta menjejaskan keselamatan golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata perbuatan vandalisme itu turut mencemarkan imej Pulau Pinang dan Malaysia di mata pelancong, khususnya dari segi tahap kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan kemudahan awam serta nilai ketamadunan sebagai sebuah destinasi pelancongan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2510743