Oleh Nurulhaliza Zailani
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Musim persekolahan sering mencetuskan keterujaan dalam kalangan ibu bapa, terutamanya mereka yang pertama kali menghantar anak ke sekolah. Beg dan kasut baharu, alat tulis lengkap, botol air ‘trending’ — semuanya nampak penting.
Namun, keterujaan itu kadangkala mendorong kepada perbelanjaan berlebihan, sedangkan anak yang baru memasuki alam persekolahan hanya memerlukan kelengkapan asas yang selesa dan sesuai.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata ibu bapa tidak perlu berlebihan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak, termasuk membeli barangan berjenama mewah, kerana tindakan itu bukan sahaja membazir, malah boleh memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.
“Ibu bapa yang matang akan menyediakan kelengkapan yang selesa untuk anak belajar, bermain dan beraktiviti. Anak ke sekolah untuk belajar, bukan untuk menunjuk. Kesederhanaan dan keselesaan lebih penting daripada jenama atau harga,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kos persediaan persekolahan yang semakin tinggi boleh membebankan keluarga, terutamanya bagi mereka yang mempunyai beberapa anak bersekolah. Justeru, pendekatan berhemat amat penting.
“Pakaian seragam seorang anak sahaja boleh mencecah antara RM100 hingga RM200. Itu belum termasuk buku, alat tulis, beg sekolah dan kos pengangkutan. Jika mempunyai tiga atau empat anak, kos ini datang serentak dan amat dirasai oleh ibu bapa,” katanya.
Menurut Anuar, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disalurkan kerajaan memainkan peranan penting dalam meringankan beban kewangan keluarga, walaupun ia tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah berkenaan.
“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban. Jika seorang anak menerima RM150, keluarga dengan empat anak boleh memperoleh sekitar RM600. Ini sangat membantu keluarga yang memerlukan,” katanya.
Pembayaran BAP 2026 sebanyak RM150 secara one-off (sekali bayar) kepada lebih 5.2 juta murid sekolah, termasuk pelajar Tingkatan 6, akan disalurkan mulai 11 Jan, bagi membantu meringankan kos menyediakan kelengkapan persekolahan.
Anuar berpandangan bantuan tersebut wajar disalurkan secara lebih bersasar pada masa hadapan, terutama kepada keluarga miskin serta murid yang mempunyai keperluan khas atau masalah kesihatan.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd Syafiq Ilham, 39, berkata beliau mengamalkan pendekatan berbelanja secara berperingkat dan berdasarkan keperluan bagi mengelak pembaziran ketika membeli kelengkapan sekolah anak-anak.
“Saya lebih memilih untuk membeli barangan yang benar-benar perlu dan memanfaatkan platform dalam talian, terutamanya semasa promosi. Cara ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah mengurangkan perbelanjaan pengangkutan,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu turut menyatakan rasa syukur atas sumbangan BAP yang dapat meringankan beban kewangan dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Beliau juga menyambut baik cadangan kerajaan untuk menyeragamkan pakaian sekolah sepenuhnya menjelang 2027, yang diyakini mampu menjimatkan kos ibu bapa dalam jangka panjang.
“Apabila terlalu banyak jenis pakaian seperti pengawas, pusat sumber dan sebagainya, ibu bapa terpaksa berbelanja lebih. Jadi, penyeragaman pakaian sekolah ini satu langkah positif dan wajar disokong,” katanya.
Keterujaan menyambut hari pertama persekolahan wajar diraikan, namun kebijaksanaan ibu bapa terletak pada kemampuan membezakan antara keperluan dan kehendak, agar persiapan persekolahan tidak berakhir dengan pembaziran yang akhirnya membebankan keluarga.
-- BERNAMA