JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Pahang Rekod RM96 Juta Kerugian Jenayah Komersial Pada 2025

06/01/2026 03:37 PM

KUANTAN, 6 Jan (Bernama) -- Sebanyak 3,199 kertas siasatan melibatkan jenayah komersial dengan nilai kerugian berjumlah RM96 juta dibuka di Pahang, tahun lepas. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam tempoh sama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menahan 2,106 individu, meningkat sebanyak 330 tangkapan berbanding tahun sebelumnya. 

“Selain itu, sebanyak 738 program pencegahan jenayah komersial diadakan sepanjang 2025 bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah itu,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Berhubung prestasi Jabatan Siasatan Jenayah, beliau berkata jabatan itu mencatatkan kejayaan membanggakan tahun lepas apabila merekodkan peratusan penyelesaian kes sebanyak 68.76 peratus dengan daerah Pekan mengungguli sebanyak 86.17 peratus. 

“Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sebanyak 11,927 kes dengan jumlah tangkapan 13,522 individu direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah,” katanya. 

  Sementara itu, Yahaya memaklumkan sebanyak 444 kes kemalangan maut direkodkan tahun lepas, meningkat 25 kes berbanding 2024 manakala 184,769 saman dikeluarkan berbanding 189,293 saman pada tahun sebelumnya. 

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya penahanan dua pegawai dan lima anggota kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di Temerloh pada Sabtu lepas, Yahaya berkata siasatan lanjut masih dijalankan dengan mereka kini ditempatkan bagi kerja pentadbiran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509364