AM

Insiden Helikopter: Pegawai TLDM Dibenar Keluar Hospital

04/01/2026 02:32 PM

MELAKA, 4 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam kejadian helikopter melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang telah dibenarkan keluar dari Hospital Melaka, semalam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz sebelum itu dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada Jumaat lepas. 

"Beliau kemudian dibenarkan keluar daripada hospital kira-kira 12.30 tengah hari semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Afiq Muzani berada di bawah pemantauan rapi pakar perubatan selepas mengalami komplikasi paru-paru. 

Dalam kejadian pada Rabu lepas, sebuah helikopter Super Lynx milik TLDM melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang ketika sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).

Kejadian yang berlaku pada 10.50 malam itu melibatkan empat kru udara, namun kesemua mereka berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508646