GEORGE TOWN, 3 Jan (Bernama) -- Suasana malam di Pulau Pinang dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 2,500 peserta dalam acara kayuhan berbasikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International Bridge Solidarity Fun Ride 2026 yang bermula di parkir kereta Queens Park, Queensbay di sini, malam ini.
Acara itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang melibatkan 17 negara termasuk India, Singapura, Thailand dan Filipina dengan peserta termuda berusia 11 tahun manakala yang tertua berumur 77 tahun.
Pelepasan rasmi kayuhan disempurnakan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada 9.20 malam, disaksikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mudin Pitchay, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail.
Tun Ramli bersama barisan tertinggi PDRM menyertai kayuhan sejauh 10 kilometer (km) bermula dari Kilometer 11.5 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sementara Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff dan isteri Che Puan Nur Julie Ariff bersama ribuan peserta lain berkenan menyertai acara kayuhan sejauh 52 km.
Program bermula seawal 5 petang tadi dengan pembukaan gerai dan reruai selain persembahan oleh Band Mutiara PDRM Pulau Pinang sebelum acara utama berlangsung.
Acara berbasikal waktu malam itu yang memasuki edisi keenam di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dianjurkan bagi memperkukuh hubungan antara polis dan masyarakat melalui aktiviti sukan serta kempen pencegahan jenayah.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, program tersebut turut memberi peserta pengalaman unik beriadah di jambatan terpanjang di negara ini dalam suasana penuh semangat, selamat dan harmoni.
-- BERNAMA