AM

'I LITE U' Kuala Lumpur Gamit Warga Dunia Ke Malaysia

04/01/2026 12:24 AM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Pemenang Oscar Tan Sri Michelle Yeoh menyamakan Kuala Lumpur seperti pentas manakala dunia sebagai penontonnya sambil Malaysia membuka tirai ‘persembahan’ kepada pengunjung global sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026)

Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) itu berkata kempen berkenaan bukan sahaja mempromosikan pelancongan malah sebagai undangan terbuka kepada dunia untuk merasai kepelbagaian, kehangatan, kekayaan warisan dan kemeriahan kesenian Malaysia.

“TMM2026 bukan sahaja mengenai pelancongan. Ia jemputan untuk merasai kepelbagaian, kehangatan, simfoni kulinari dan kemeriahan kesenian kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival I LITE U di Bukit Bintang di sini, malam ini.

Majlis itu, yang merupakan sebahagian daripada festival cahaya utama di ibu kota, menyaksikan kawasan ikonik itu bergemerlapan dengan lampu-lampu yang menonjolkan kemeriahan dan inovasi yang ingin ditampilkan Malaysia kepada dunia.

Menurut seniwati berasal dari Ipoh itu, lampu-lampu tersebut bukan sekadar perhiasan malah simbolik jambatan yang menghubungkan budaya, kreativiti dan komuniti.

Yeoh berkata cahaya merupakan simbolik kepada panduan dan harapan untuk masa depan selain sebagai suar yang memberitahu dunia tentang kehadiran Malaysia.

“Pertamanya, ia memandu dan menerangi jalan ke hadapan. Dan kedua, ia sebagai suar yang memberikan isyarat kepada yang lain. ‘Here we are’,” katanya.

Berkongsi sentimennya terhadap ibu kota itu, Yeoh berkata, berdiri di tengah-tengah Kuala Lumpur, bandar raya yang mencorakkan impian masa remajanya, membuatkan beliau berasa bangga ketika negara bersedia untuk menyambut kehadiran pengunjung antarabangsa.

Pelakon bertaraf dunia itu berkata cemerlangnya bandar raya itu malam ini menandakan bermulanya suatu kisah tentang keindahan luar biasa, kekayaan warisan dan inovasi berterusan yang akan dikongsikan kepada dunia pada 2026.

Menyeru rakyat Malaysia supaya menerapkan semangat keramahan, Yeoh menggalakkan mereka untuk menunjukkan makna sebenar hospitaliti Malaysia dan berkata negara mengalu-alukan kedatangan pelawat dari jauh dan dekat.

“Biarlah cahaya ini memancar sebagai lambang masa depan gemilang yang kita bina bersama,” katanya.

Festival I LITE U merupakan acara pembuka tirai kepada siri inisiatif budaya dan pelancongan sempena TMM2026 sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi global bagi warisan, seni dan inovasi. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508557