AM

NS Fest 2025 Catat 1.5 Juta Pengunjung, Jualan RM7.95 Juta

01/01/2026 10:49 AM

NILAI, 1 Jan (Bernama) -- Festival Negeri Sembilan 2025 (NS Fest) di Dataran Nilai di sini mencatatkan kejayaan apabila merekodkan kehadiran 1.5 juta pengunjung dengan nilai jualan RM7.95 juta sepanjang 12 hari penganjuran.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pencapaian itu melepasi sasaran awal 1.4 juta pengunjung sekali gus membuktikan keupayaan Negeri Sembilan menganjurkan acara berskala besar yang mengetengahkan keunikan identiti budaya, ekonomi dan sosial rakyat.

Beliau berkata sambutan luar biasa terhadap festival itu turut mencerminkan penerimaan positif rakyat terhadap pelbagai program dianjurkan termasuk pameran, persembahan seni, aktiviti kanak-kanak, jualan produk tempatan dan perkhidmatan agensi kerajaan.

“Pada tahun lepas, kita berjaya meraih nilai jualan RM4.3 juta dengan kehadiran 1.1 juta pengunjung selama lapan hari penganjuran dan tahun ini meningkat kepada 1.5 juta pengunjung. Sepanjang 12 hari, Dataran Nilai menjadi pusat tumpuan, medan pembangunan ekonomi dan simbol kebersamaan warga Negeri Sembilan. 

“NS Fest ini bukan sahaja mengangkat budaya dan ekonomi malah memperkukuh perpaduan serta kesefahaman dalam kalangan rakyat,” katanya ketika merasmikan penutupan festival itu di sini malam tadi.

Beliau berkata pada festival itu juga memberi keutamaan kepada sektor pertanian menerusi pelaksanaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan 2025 bagi mengiktiraf wira ekonomi luar bandar yang memastikan kestabilan bekalan makanan negeri.

Aminuddin berkata lebih 240 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjaya memasarkan produk, membina jenama dan mengembangkan jaringan perniagaan mereka menerusi Arena Usahawan yang menjadi platform terpenting dalam karnival itu.

“Penganjuran seperti ini dapat merancakkan lagi ekonomi tempatan serta memberi manfaat kepada rakyat untuk membeli dan merasai produk pengeluaran tempatan secara terus,” katanya.

Majlis penutupan NS Fest diadakan serentak sambutan ambang tahun baharu yang dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air termasuk Zamani Slam, Imran Ajmain dan Drama Band dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507837