EKONOMI

FMM Saran Daya Saing Kos Yang Lebih Baik Untuk Sokong Pertumbuhan Pembuatan

29/12/2025 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) menyarankan agar kerajaan mengukuhkan daya saing kos Malaysia untuk menyokong pertumbuhan pembuatan ketika negara mula memasuki 2026.

FMM melalui satu kenyataan hari ini berkata daya saing kos adalah pemboleh asas ke arah pengekalan pelaburan, peningkatan industri dan pengembangan pembuatan jangka panjang.

“Ini termasuk usaha menangani kos operasi dan pematuhan, menjamin harga tenaga yang kompetitif dan boleh dijangka untuk menyokong peralihan tenaga, meningkatkan kecekapan logistik termasuk kemudahan perdagangan, selain mengekalkan persekitaran cukai yang stabil, telus dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

FMM ketika mengulas mengenai tenaga kerja menjelaskan kejayaan penyampaian Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bergantung kepada tenaga kerja mahir, produktif dan mampu menyesuaikan diri serta disangga oleh dasar buruh dan pekerjaan yang jelas, boleh diramal dan boleh dilaksanakan di peringkat tempat kerja.

“Ini merangkumi reformasi buruh yang tersusun baik dengan penguatkuasaan yang konsisten, tadbir urus yang telus serta dasar buruh asing yang dipacu permintaan yang menyokong pelan perniagaan sambil membolehkan peralihan Malaysia ke arah automasi, produktiviti yang lebih tinggi dan pekerjaan dengan nilai tambah yang lebih unggul”, kata FMM.

Kerajaan harus menterjemahkan pelan hala tuju pendigitalan, automasi dan Revolusi Perindustrian Keempat kepada sokongan praktikal untuk perusahaan kecil dan sederhana melalui akses yang lebih mudah kepada insentif, khidmat nasihat serta pembiayaan bagi meningkatkan penggunaan teknologi, produktiviti dan kemahiran tenaga kerja selaras dengan matlamat RMK-13.

Mengenai kelestarian, FMM menggesa kerajaan untuk memajukan integrasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), peralihan bersih-sifar termasuk penyelidikan dan pembangunan industri sebagai pemboleh utama fasa lanjut dalam pembangunan industri mampan Malaysia di bawah NIMP 2030 serta RMK13.

“Ini termasuk penyepaduan yang lebih mendalam membabitkan pengeluar tempatan yang berkebolehan, khususnya PKS, ke dalam rantaian nilai termaju dalam sektor keutamaan seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik, kenderaan elektrik, aeroangkasa serta peralihan tenaga bagi mengukuhkan penciptaan nilai dan daya tahan domestik,” katanya.

FMM menambah bahawa penyampaian NIMP 2030 dan RMK-13 memerlukan bukan sahaja hasrat dasar yang kukuh tetapi juga pelaksanaan yang berdisiplin, penglibatan industri berstruktur dan pendekatan menyeluruh kerajaan yang diselaraskan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507059