KANGAR, 25 Dis (Bernama) -- Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perlis yang jawatan mereka sebagai wakil rakyat gugur selepas keahlian mereka terhenti serta-merta diminta memulangkan segera aset kerajaan negeri yang digunakan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus'sele Eizan berkata pihak DUN akan memaklumkan mengenai pemulangan keperluan yang diguna pakai ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim.
"Secara automatik (jawatan) gugur, kita bukan pecat tetapi memang diberhentikan, semua jawatan dipegang termasuk wakil rakyat, (aset kerajaan negeri digunakan mereka harus) dipulangkan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Mohd Ridzuan sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis.
Terdahulu, Rus'sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga ADUN itu terhenti serta-merta.
Rus’sele berkata kekosongan itu selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Sebelum ini, media melaporkan ADUN Perikatan Nasional (PN) di Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Berikutan itu, kenyataan media Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi memaklumkan keahlian tiga ADUN berkenaan terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, PN memenangi 14 kerusi DUN negeri itu tediri daripada sembilan ADUN PAS dan lima ADUN Bersatu, manakala seorang ADUN PKR bagi Indera Kayangan.
-- BERNAMA