AM

Lebih 2.2 Juta Kenderaan Dijangka Masuk Pulau Pinang

23/12/2025 05:43 PM

GEORGE TOWN, 23 Dis (Bernama) -- Lebih 2.2 juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang sempena cuti penggal akhir persekolahan dan perayaan Krismas bermula hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata angka itu berdasarkan trend musim perayaan besar direkodkan sebelum ini, ditambah dengan penganjuran Pesta Pulau Pinang dari 6 Dis hingga 10 Jan 2026.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan dua juta kenderaan dalam tempoh seminggu akan menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara pada waktu puncak musim perayaan termasuk laluan ke Pulau Pinang.

“Trend musim perayaan besar 2025 menunjukkan Pulau Pinang biasanya menerima sekitar 2.2 juta kenderaan masuk atau melintasi melalui jambatan pertama atau kedua Pulau Pinang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azizee berkata situasi itu akan menyebabkan beberapa laluan mengalami kesesakan teruk, terutamanya di pintu masuk utama jambatan Pulau Pinang dengan aliran trafik dijangka sangat tinggi pada hari ini dan esok susulan diskaun 50 peratus kadar tol oleh kerajaan.

Beliau menjangkakan keadaan sama di susur keluar Juru dan Sungai Dua disebabkan pertembungan aliran kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), peningkatan kenderaan di George Town akibat kedatangan pelancong selain Jalan Air Itam dan Jalan Green Lane kerana laluan utama ke Batu Ferringhi.

Bagaimanapun, Azizee berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga termasuk menempatkan anggota tambahan di lokasi strategik dikenal pasti sebagai kawasan hot spot dan black spot sebagai langkah berwaspada.

“PDRM juga melaksanakan OPS Lancar bagi membolehkan mengenal pasti dan bertindak pantas dalam tempoh 24 jam sekiranya berlaku sebarang keadaan di seluruh negeri untuk memastikan aliran trafik tidak terjejas semasa peningkatan jumlah kenderaan,” katanya.

Beliau berkata polis bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk meningkatkan kehadiran anggota melalui rondaan berkala di kawasan tumpuan pelancong

Orang ramai dinasihatkan merancang waktu perjalanan bagi mengelakkan terperangkap kesesakan waktu puncak selain berwaspada dengan risiko hujan lebat yang boleh menyebabkan insiden seperti pokok tumbang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2505624