PETALING JAYA, 22 Dis (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis berhubung kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang memaklumkan keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu hari ini.
“Kita akan buat laporan mengenai ada pemalsuan dokumen (pemain warisan) yang dihantar kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan siapa yang bertanggungjawab mengenai pemalsuan dokumen itu,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM hari ini.
Selain laporan polis, Mohd Yusoff berkata pihaknya juga akan mengikut segala saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang ditubuhkan berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Sebelum ini, IIC dalam laporan penuh siasatan setebal 59 muka surat mengemukakan tiga cadangan kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Antara cadangan yang diberikan IIC kepada FAM termasuk badan induk itu perlu segera membuat laporan polis untuk membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan penuh dan sewajarnya bagi membuktikan asal usul dokumen yang disyaki palsu serta mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.
Jawatankuasa itu memaklumkan, kes berkenaan membabitkan dakwaan pemalsuan dokumen rasmi dan ia adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.
Selain itu, IIC juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding tatatertib dalaman terhadap Setiausaha Agung badan induk itu mengikut keperluan proses sewajarnya.
IIC turut mencadangkan supaya FAM membuat pengawasan dan reformasi struktur serta melakukan langkah pencegahan dan pemulihan kredibiliti daripada aspek tadbir urus.
Sementara itu, mengulas reformasi pentadbiran yang disyorkan IIC, Mohd Yusoff berkata pihaknya akan melaksanakan perkara tersebut selepas mendapat keputusan rasmi Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang akan diketahui kelak.
Beliau berkata keputusan CAS akan menjadi penentu sama ada struktur kepimpinan sedia ada dikekalkan atau rombakan besar perlu dilakukan dengan fokus utama FAM ketika ini adalah mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rasmi.
“Proses ini perlu diselesaikan dahulu. Selepas itu barulah kita boleh buat keputusan yang lebih baik untuk FAM dan bola sepak negara,” katanya.
Mohd Yusoff berkata dalam masa yang sama, FAM turut memaklumkan sudah menghantar semua dokumen berkaitan kepada CAS dan ketika ini kami sedang menunggu tarikh perbicaraan ditetapkan.
“Sekarang ini boleh dikatakan laporan dan proses sudah sampai ke peringkat CAS, cuma kita masih menunggu bila perbicaraan akan dijalankan,” katanya,
-- BERNAMA