KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah untuk pasaran tempatan menerusi dua operasi berasingan, dengan 19 individu ditahan dan melibatkan rampasan dadah bernilai hampir RM2.8 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata sembilan lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga asing berusia 25 hingga 63 tahun ditahan dalam sembilan serbuan di Johor, Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Ops Tupelo pada 14 hingga 22 Nov lepas.
Beliau berkata pihaknya turut merampas 15.3 kilogram (kg) methylenedioxymethamphetamine (MDMA), pil eramin 5 (4.1 kg), methamphetamine (206 gram), pil ekstasi (82.3 gram), ketamin (17 gram) dan heroin (3.8 gram) anggaran bernilai RM2.6 juta.
“Siasatan mendapati sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah dipercayai untuk pasaran tempatan itu aktif sejak pertengahan tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata hasil ujian air kencing mendapati 11 individu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo, dengan sembilan daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah serta jenayah.
Beliau berkata pihaknya turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 menyaksikan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM1.2 juta, melibatkan wang tunai RM499,950, tujuh kenderaan dan barang kemas.
Sementara itu, enam lelaki berusia 23 hingga 38 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Ops Rimu pada 9 Dis lepas.
Hussein berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan beberapa jenis dadah turut dirampas, iaitu 215.5 gram methamphetamine, 1.95 kg ganja, 1.06 kg pil eramin 5 , satu kg heroin, 19.13 gram pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM132,244.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati seorang daripada enam yang ditahan positif dadah jenis benzo dan kesemua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.
Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut dilaksanakan, dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM368,250 melibatkan wang tunai RM10,950, lima kereta, dua motosikal, seutas jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas.
-- BERNAMA